Piala Dunia Ragbi: Satu pihak pasti akan mati, kata jurulatih England

Astro Arena
Oktober 18, 2019 18:22 MYT
Jones juga menuntut ketua pasukan England, Owen Farrell, agar menumpukan perhatian kepada dirinya sendiri. - AP
JURULATIH England, Eddie Jones, berkata, "satu pihak pasti akan mati" apabila menghangatkan pertemuan suku akhir Piala Dunia Ragbi dengan Australia, petang esok (19 Oktober).
Kedua-dua pasukan sudah pasti mengintai separuh akhir Piala Dunia dalam perseteruan di Oita, Jepun itu.
Jangkaan tinggi terarah kepada England, yang diketuai oleh bekas jurulatih Wallabies, Jones, dan pengendali berbangsa Australia berusia 59 tahun itu menggunakan wira kuno Jepun untuk menggambarkan pasukannya.
"Berapa ramai samurai yang kami ada: 23. Dan kami mempunyai lapan lagi di dalam gua sana," kata Jones kepada pemberita sambil menunjukkan ke arah bukit di belakang hotel penginapan England di Beppu.
"Di sinilah semua samurai hidup. Setiap kali samurai bertempur, seorang akan kekal hidup dan seorang lagi akan mati. Begitu juga esok, satu pihak akan terus hidup dan satu lagi akan mati. Itulah hakikat perlawanan ini. Anda akan melihat pertembungan lapan pasukan terbaik, semunya bermain untuk meneruskan hidup.
"Perkara hebat tentang Piala Dunia ini ialah setiap perlawanan merupakan aksi kalah mati. Tiada pasukan yang pernah memenangi Piala Dunia selepas tewas dalam satu perlawanan dan ada sebab ia berlaku.
"Itulah yang saya nikmati tentang Piala Dunia, setiap perlawanan adalah aksi kalah mati. Setiap perlawanan berpotensi untuk penyingkiran," ujarnya.
Sementara itu, Jones menuntut ketua pasukan England, Owen Farrell, agar menumpukan perhatian kepada dirinya sendiri selepas memberi tumpuan kepada pasukannya ketika di peringkat kumpulan.
"Tanggungjawab sebagai kapten dalam Piala Dunia jauh lebih besar daripada perlawanan biasa kerana anda perlu menggalas tanggungjawab untuk mengetuai sekumpulan 31 pemain. Sudah lapan atau sembilan minggu kami bersama," kata Jones.
"Dia menanggung semua masalah kekeluargaan. Ketika menikmati makan malam, ada rakan sepasukan yang berasa gembira, ada pula yang tidak manakala seorang lagi tidak tahu sama ada dia gembira atau tidak. Jadi dia adalah bapa kepada kumpulan itu. Dia adalah wakil bagi mereka, untuk meluahkan kata-kata yang tepat kepada pemain lain adalah pengalaman yang mencabar buat seorang pemuda sepertinya.
"Kadang-kadang saya berasakan, mungkin di peringkat awal saingan ini, dia telah menghabiskan terlalu banyak masa untuk bertindak sebagai ketua pasukan dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk membuat persediaan kepada diri sendiri tetapi saya telah melihat perubahan sebenarnya pada minggu ini.
"Mengapa (bintang kriket Australia) Steve Smith amat berjaya dalam Kejohanan Ashes? Salah satu sebabnya adalah dia tidak perlu gusar tentang pasukan, dia tidak perlu mempunyai kebimbangan cara pasukannya bermain.
"Jika anda adalah seorang kapten, anda akan memikul lebih banyak tanggungjawab dan ketika anda turun sebagai kapten, anda perlu belajar bagaimana untuk mendapatkan keseimbangan yang tepat.
"Owen adalah seorang pahlawan yang memimpin dari depan, berjuang dan kental. Itulah yang kami cuba jelmakan dalam pasukan ini. Kami memiliki pasukan yang saling bersaing sengit dan itulah cara yang kami mahu beraksi. Itulah gaya permainan England," katanya.
#eddie jones #England #jurulatih england #piala dunia ragbi
;