Dalic dilantik pada Oktober 2017 ketika Croatia berada di kedudukan bahaya terlepas Piala Dunia 2018, namun kemenangan sulungnya ke atas Ukraine dalam perlawanan terakhir kumpulan peringkat kelayakan memastikan mereka meraih tempat kedua.
Pada mulanya, Dalic enggan kekal sekiranya Croatia gagal ke Piala Dunia Russia 2018, tetapi kemenangan play-off ke atas Greece dengan agregat 4-1 menghidupkan semula laluan mereka.
Dalic akhirnya membawa skuad Valtreni itu ke final Piala Dunia pertama mereka -- kecundang 2-4 kepada Perancis tetapi pencapaian mereka cukup penting.
Croatia tidak dilabel sebagai pasukan pilihan menjelang Qatar 2022 tetapi kemenangan berturut-turut ke atas Jepun dan Brazil menerusi penentuan sepakan penalti mengangkat mereka sebagai calon negara Eropah pertama sejak 1990 (Jerman) yang mara ke perlawanan akhir Piala Dunia berturut-turut.
Cabaran Argentina akan menanti di Stadium Lusail awal pagi esok dan dalam sidang akhbar pra-perlawanan malam tadi, Dalic sempat untuk merenung perjalanannya sendiri sejak 2017.
"Keadaan agak berbeza ketika itu," katanya kepada pemberita.
“Sejujurnya, saya tidak pernah membayangkan bahawa saya akan mara sejauh ini, menjadi ketua jurulatih Croatia dalam dua Piala Dunia, termasuk dalam perlawanan akhir dan separuh akhir.
"Saya fikir ada pihak yang lebih sesuai tetapi syukur saya mampu melaksanakannya dan menggalasnya. Saya sangat bersyukur atas peluang ini.
"Apa pun yang berlaku (awal pagi esok), saya akan tetap berbangga dengan apa yang saya telah capai bersama pasukan kebangsaan Croatia. Saya bangga dengan negara saya dan pemain saya.
"Tiada siapa menjangkakan Croatia dalam tempoh empat tahun ini akan menjadi antara empat pasukan terbaik, jadi kebanggaan saya tiada hadnya. Ia setinggi langit.
"Saya amat gembira ketika ini. Kami semua mempunyai impian, impian saya adalah untuk menjadi ketua jurulatih Croatia. Saya tidak pernah mengimpikan perkara ini, jadi terima kasih kepada tuhan untuk ini."