Piala Dunia: Qatar ucapkan 'ma'aasalaama' buat Itali!
Astro Arena
Mac 25, 2022 16:43 MYT
Mac 25, 2022 16:43 MYT
HANYA lapan bulan lalu, mereka dinobatkan sebagai raja Eropah.
Awal pagi tadi, mereka hanyalah pasukan yang bakal menonton Piala Dunia di Qatar dari kaca televisyen semata-mata.
Sungguh mengejutkan, pemenang Euro 2020, Itali, tumpas 0-1 di tangan negara yang hampir langsung tidak dikenali, Macedonia Utara, dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan tersingkir.
Seolah-olah menzahirkan kesedihan seluruh negara, akhbar Itali, Tuttosport, memaparkan perkataan 'Tidak!' di halaman hadapan, berserta gambar kapten pasukan, Giorgio Chiellini, memujuk penjaga gol, Gianluigi Donnarumma.
Akhbar Corriere dello Sport pula lebih kejam lagi dengan ayat 'Bukan ke Piala Dunia, tetapi ke neraka!'
Kejayaan terdahulu Itali memenangi Euro 2020 dilabelkan sebagai penawar terbaik buat kegagalan mereka ke Piala Dunia 2018 di Rusia, dengan rentetan dominasi mereka ke atas kesemua pasukan Eropah yang lain dikatakan adalah tanda bahawa The Azzurri telah kembali sebagai kuasa besar dunia bola sepak.
Siapa sangka skrip yang sama berulang lagi dan hanya air mata yang mengiringi?
Dalam perlawanan yang mereka dominasi sepenuhnya, iaitu sebanyak 32 percubaan tepat ke arah pintu gol lawan menurut statistik akhbar The Guardian, Itali gagal membolosi walau sekali pun.
Pengurus Itali, Roberto Mancini, menggambarkan kekalahan ini sebagai satu nasib malang dan bukannya atas dasar pasukan mereka tidak cukup ampuh.
"Memenangi Euro 2020 merupakan pengalaman paling manis dalam kerjaya saya, manakala apa yang terjadi pada malam ini adalah yang paling pahit, tiada apa-apa lagi yang boleh saya katakan. Ini adalah bola sepak dan perkara sebegini memang boleh terjadi."
Nasib Mancini sendiri dalam terus mengendalikan pasukan kebangsaan Itali selepas ini masih belum dapat dipastikan.
Biarpun Macedonia Utara hanya mencatatkan dua percubaan tepat ke arah pintu gol Itali, pemain penyerangnya, Aleksandar Trajkovski, memanfaatkan sepenuhnya peluang pada minit ke-92 dan membuka pintu untuk pasukan negaranya berhadapan dengan Portugal dalam pusingan kelayakan terakhir kelak.
Mungkin pemain yang paling berasa sedih adalah pemenang tempat ketiga anugerah Ballon d'Or tahun ini, Jorginho.
Dia dicalonkan untuk anugerah tersebut atas persembahannya yang mantap dalam mengemudi barisan tengah Itali sewaktu Euro 2020, namun gagal menyempurnakan sepakan penalti penting sewaktu dua kali menentang Switzerland dalam peringkat kelayakan kumpulan sebelum ini.
"Bila saya fikirkan semula kegagalan saya (menyempurnakan penalti), saya dapat rasakan ia akan menghantui saya seumur hidup," ujar Jorginho dalam linangan air mata selepas perlawanan berakhir.
Nasi sudah menjadi bubur, kini apa lagi daya Itali selain memujuk diri dan semoga dapat sekali lagi kembali dengan azam dan kekuatan baru untuk perjuangan seterusnya.
Mungkin kejayaan lalu menyebabkan mereka bongkak dan lalai, manakala penyokong England pula mengatakan ia adalah balasan atas kemenangan yang diperoleh dengan cara kotor sewaktu pusingan akhir Euro 2020 yang lalu. (Merujuk kepada tindakan Giorgio Chiellini menarik jersi Bukayo Saka dari belakang demi menghalang pemain itu menjaringkan gol).
Buat masa ini, 'Arrivederci' (selamat tinggal) untuk warga Itali dan juga 'Ma'aasalaama' dari Qatar.