Piala Dunia Qatar: Tidak mudah mengalah, Samurai Biru ketawa besar

Astro Arena
November 24, 2022 18:54 MYT
Tidak pernah berlaku dalam sejarah Jepun di mana mereka memperoleh kemenangan dalam Piala Dunia selepas ketinggalan satu gol. -Stadium Astro
ANTARA perkara paling menarik setiap kali berlangsungnya Piala Dunia adalah tumbangnya pasukan gergasi di tangan pasukan kerdil.
Jika diimbas kembali sejauh 20 tahun lalu, Piala Dunia 2002 menyaksikan pasukan Senegal yang masih lagi dikategorikan sebagai kuasa kecil dalam dunia bola sepak ketika itu menundukkan juara bertahan, Perancis, 2-0 dalam perlawanan pembukaan.
Piala Dunia 2018 pula menyaksikan kecundangnya satu lagi juara bertahan, Jerman, di tangan Korea Selatan yang membalas dendam kekalahan mereka di peringkat separuh akhir tahun 2002, sekali gus menyingkirkan pula Jerman daripada kejohanan itu.
Mungkin ada badi tersendiri apabila melibatkan Jerman dengan pasukan Asia kerana perlawanan di antara mereka dan Jepun semalam menyaksikan satu lagi kejutan besar berlaku -- Jepun mengejar daripada ketinggalan satu gol untuk menang 2-1 pada akhirnya.
Hanya sehari selepas satu lagi gergasi Asia, Arab Saudi, membenam Argentina, kini giliran Jepun pula tampil untuk membuktikan pasukan dari rantau ini tidak harus dipandang remeh.
Agak ironi keadaan yang tercipta apabila kedua-dua penjaring gol Jepun merupakan pemain yang masing-masing beraksi di Bundesliga -- Ritsu Doan bersama SC Freiburg dan Takuma Asano pula bersama VfL Bochum.
BACA: Jepun kekal status pasukan Asia 'pembunuh gergasi' benam Jerman
Tidak pernah berlaku dalam sejarah Jepun di mana mereka memperoleh kemenangan dalam Piala Dunia selepas ketinggalan satu gol, tetapi sejarah nyata tercipta selepas pertunjukan penuh bersemangat dipamerkan oleh kesemua pemain mereka.
Separuh masa pertama menyaksikan pasukan mereka didominasi dalam segala aspek oleh Jerman.
Gabungan Joshua Kimmich dan Ilkay Gundogan di bahagian tengah padang memastikan penguasaan bola dimiliki oleh pasukan mereka hampir sepenuhnya, tambahan pula mereka selesa beraksi dengan kelebihan satu gol selepas Gundogan menjaringkan sepakan penalti pada minit ke-33.
Jepun dipaksa untuk terus bertahan sebaik mungkin buat jangka masa yang cukup lama sehinggalah mereka akhirnya dapat merasakan Jerman sudah mula mengurangkan tekanan pada 15 minit terakhir.
Berbekalkan tenaga lima pemain gantian yang dibawa masuk hasil percaturan taktikal pengurus, Hajime Moriyasu, Jepun menghukum kelekaan Jerman sepenuhnya.
Ia bermula daripada sepakan kencang Takumi Minamino yang gagal disambut dengan baik oleh penjaga gol Jerman, Manuel Neuer, membolehkan itsu Doan merembat masuk bola lantunan bagi menyamakan kedudukan.
Terlebih dahulu, dalam satu adegan di bahagian sayap kiri Jerman sewaktu pasukan tersebut masih mendahului, pemain pertahanan, Antonio Rudiger, seolah-olah mengejek Asano sewaktu mereka sama-sama mengejar bola, di mana Rudiger menunjukkan aksi larian yang cukup melucukan sebelum ketawa terbahak-bahak apabila bola gagal dirampas oleh Jepun.
Rudiger pastinya tidak lagi mampu ketawa apabila Asano merempuh masuk pada minit ke-83 dari sudut yang sama hasil lambungan cantik Ko Itakura sebelum merembat padu menewaskan Neuer.
Sejarah tercipta buat Jepun, kekesalan tiada kesudahan pastinya dirasakan oleh Jerman kerana peluang demi peluang untuk melebarkan perbezaan gol gagal disempurnakan dari awal.
Gundogan dan Neuer masing-masing meluahkan rasa geram dan kecewa terhadap pasukan kerana kini mereka sekali lagi berhadapan kemungkinan untuk tersingkir awal, dengan Sepanyol yang membelasah Costa Rica 7-0 dalam perlawanan mereka bakal menjadi pihak lawan seterusnya.
Bagi Jepun pula, kemenangan ini mungkin sahaja bakal menjadi pemacu untuk mara lebih jauh lagi berbanding dengan pencapaian mereka dalam kejohanan sebelum ini untuk semangat Samurai Biru terus melonjak.
#piala dunia qatar #Jepun kalahkan Jerman #Samurai Biru #keputusan mengejut
;