Piala Dunia Qatar: Pihak berkuasa Qatar siasat kematian pekerja buruh Filipina
Faida Rahim
Disember 8, 2022 06:45 MYT
Disember 8, 2022 06:45 MYT
DOHA: Pihak berkuasa Qatar sedang menyiasat kematian melibatkan seorang pekerja buruh dari Filipina yang meninggal dunia ketika membaiki lampu di lokasi Piala Dunia 2022 berlangsung.
Memetik laporan AFP, laporan tentang kematian pekerja buruh ini hanya diketahui kelmarin.
Walau bagaimanapun, laporan tidak menyatakan waktu kejadian berlaku secara tepat.
Difahamkan, laporan hanya mengatakan pekerja Filipina jatuh ketika membaiki lampu di salah satu pusat peranginan yang digunakan sebagai arena latihan oleh pasukan kebangsaan Arab Saudi.
Merujuk kepada laporan itu, pekerja berkenaan tidak menggunakan alat keselamatan.
"Sekiranya didapati pekerja protokol keselamatan tidak dipatuhi, syarikat rekrut buruh akan berdepan tindakan undang -undang dan penalti kewangan," kata sumber kerajaan Qatar.
Sementara itu, Kementerian Luar Negeri Filipina memaklumkan kedutaan besar di Doha juga sedang meneliti laporan itu.
Isu kematian pekerja buruh menjadi tumpuan selepas portal Guardian melaporkan seramai 6,500 pekerja meninggal dunia selepas Qatar bertekad menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.
Sebagai persiapan Piala Dunia 2022, Qatar membina tujuh stadium, hotel dan meluaskan lapangan terbang negara termasuk rangkaian kereta api dan lebuh raya.