Piala Dunia Qatar: Pengurus England belum ada percaturan muktamad
Astro Arena
Ogos 24, 2022 05:30 MYT
Ogos 24, 2022 05:30 MYT
PENGURUS England, Gareth Southgate, menganggap masih terlalu awal untuk mendedahkan skuad bayangannya apabila dia masih memantau barisan pemain England pada minggu-minggu pembukaan musim ini.
Permulaan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) telah menimbulkan pelbagai kejutan setakat ini yang menyaksikan Manchester United tewas dua perlawanan berturut-turut sementara Liverpool kekal tanpa kemenangan selepas tiga perlawanan.
Dalam pertembungan di antara dua gergasi itu yang dimenangi United 2-1, Erik ten Hag mengetepikan muka tetap England iaitu Harry Maguire dan Luke Shaw dalam kesebelasan utamanya.
Jack Grealish, Kalvin Phillips dan John Stones pula dua kali memulakan perlawanan sepanjang tiga minggu pertama musim ini bersama Manchester City, tetapi Southgate menegaskan masih terlalu awal untuk berasa khuatir.
“Ketika ini carta EPL akan menjadi tidak menentu selama beberapa minggu, lagipun pasaran pemain masih terbuka hingga mencetuskan banyak huru-hara di setiap kelab,” katanya kepada Sky Sports.
“Perkara ini perlu diatasi segera tetapi sebelum ini kami mungkin bernasib baik kerana jadual perlawanan antarabangsa biasanya jatuh kira-kira seminggu selepas liga dimulakan tetapi kali ini mereka diberi lebih masa.
“Apa yang bagusnya beberapa minggu lagi saya dapat melihat bagaimana keadaan sebenarnya selain memantau tahap fizikal dan kecergasan pemain.
"Beberapa keputusan mengejutkan berlaku tetapi saya sudah menjangkakannya pada tahun ini.y
"Situasi akan mula menjadi lebih normal apabila pemain terbabit dalam dua perlawanan seminggu yang melibatkan banyak kejohanan."