Piala Dunia Qatar: Nagatomo mahu Jepun 'bertarung seperti Samurai' bertemu Croatia
Astro Arena
Disember 5, 2022 08:45 MYT
Disember 5, 2022 08:45 MYT
YUTO Nagatomo mahu rakan sepasukan Jepun 'berlawan seperti samurai' apabila mereka menentang Croatia dalam pusingan 16 terakhir Piala Dunia Qatar.
Jepun mengejutkan ramai pihak dengan memenangi Kumpulan E di Qatar, menewaskan bekas juara dunia, Jerman dan Sepanyol untuk layak ke pusingan 16.
Samurai Biru disingkirkan dalam edisi 2018 oleh Belgium pada pusingan 16, tewas 3-2 selepas mendahului dua gol.
Empat tahun kemudian dan Nagatomo, yang bermain dalam perlawanan itu di Rostov, berpendapat cabaran untuk mengatasi pukulan itu hanya akan mengukuhkan apa yang digelarnya sebagai pasukan Jepun 'terkuat' dalam sejarah Piala Dunia.
"Sudah tentu saya tidak pernah melupakan [tewas kepada Belgium]," kata Nagatomo. “Ia sentiasa kekal dengan saya, kadang-kadang tiba-tiba saya teringat mengenai apa yang terjadi dalam perlawanan itu.
“Empat tahun lalu adalah sangat sukar bagi saya, fikiran saya sentiasa tertumpu pada Piala Dunia Qatar, tetapi kami mengatasi empat tahun yang mencabar itu dan saya fikir kami berkembang daripada segi fizikal dan mental.
“Sejak 2008, saya telah menyertai kira-kira 15 tahun dalam proses Piala Dunia, tetapi setakat yang saya lihat, pasukan ini adalah yang terkuat dalam sejarah penyertaan Jepun dalam Piala Dunia.
"Kami berhasrat untuk mengalahkan Croatia dan menikmati landskap baharu dan saya tidak sabar untuk menjerit 'bravo' dengan kuat."
"Sebelum pertemuan dengan Jerman, terdapat kata dalam bahasa Itali, 'couragio', yang bermakna 'berani', jadi saya berjabat tangan dengan setiap pemain dan kami berkata 'couragio' bersama-sama," tambah bekas pemain Inter itu.
"Saya berasakan kami telah memanifestasikan 'couragio' dalam permainan kami. Saya dapat berasakan kami bersatu sebagai unit dan ini adalah kekuatan Jepun.
"Saya pasti semangat sudah cukup dalam pasukan ini dan kami akan berusaha untuk menang. Kami akan menang.
"Kami sentiasa menggunakan analogy pahlawan samurai, sebelum mereka ke medan perang, mereka mengilap senjata dan memperbaiki kualiti teknik, tetapi jika mereka takut, segala persiapan tidak dapat diterjemah dengan baik. Sama dengan bola sepak.
"Taktik amat penting, tetapi tidak kira berapa banyak kami memperbaikinya, jika kami gemuruh di atas padang, perkara itu tidak berguna. Bagi kami memaksimumkan semua taktik yang telah kami bincangkan dalam empat tahun kebelakangan ini, yang pertama perkara yang kami perlukan ialah keberanian. Esok, kami mahu mempamerkan betapa beraninya kami berjuang, bertarung seperti Samurai." - Astro ARENA