Piala Dunia Qatar: Mesut Ozil sedih Cristiano Ronaldo kurang dihargai
Astro Arena
Disember 10, 2022 12:20 MYT
Disember 10, 2022 12:20 MYT
MESUT OZIL menyifatkan Cristiano Ronaldo sebagai "salah seorang atlet terhebat dalam sejarah sukan" dan sukar mempercayai bahawa bekas rakan sepasukannya di Real Madrid itu kurang dihormati di penghujung kerjayanya.
Gelagat pemain tanpa kelab itu tidak disenangi sejak di peringkat kelab lagi dan kini terbawa-bawa di pentas antarabangsa ketika masuk sebagai pemain gantian dalam kemenangan 6-1 Portugal ke atas Switzerland, Rabu lalu.
Pemenang lima Ballon d'Or itu yang menamatkan kontraknya dengan Manchester United secara persetujuan bersama terus mencuri perhatian apabila tidak menjadi taruhan utama.
Hatrik penggantinya yang merupakan bintang muda Benfica, Goncalo Ramos, ke atas Switzerland tampak akan mengukuhkan posisinya menjelang perlawanan suku akhir dengan Maghribi, malam ini.
Justeru, Ozil -- yang kini menyarung jersi Istanbul Basaksehir dan pernah beraksi di samping Ronaldo di ibu negara Sepanyol berkenaan di antara 2010 dan 2013 -- bertindak membela bekas rakan sepasukannya tersebut di platform media sosial.
"Saya benar-benar tidak faham dari mana datangnya negatif berterusan daripada akhbar mengenai Cristiano," tulisnya di Twitter.
“Media hanya cuba mendapatkan klik sementara pemerhati bola sepak yang sedang menganggur pula menggunakan nama besar mereka untuk menarik perhatian dan cuba membuatnya (Ronaldo) kelihatan buruk.
"Tidak lama lagi dia akan mencecah usia 38 tahun -- jadi apa yang mengejutkan jika dia tidak menjaringkan 50 gol semusim lagi? Setiap peminat bola sepak di luar sana pasti gembira melihatnya telah memperagakan aksi bola sepak bertaraf dunia selama 20 tahun.
"Saya tidak fikir sesiapa daripada generasi baharu akan dapat menandingi pencapaiannya lagi. Dia akan selama-lamanya berada dalam kelas yang tersendiri. Semua orang harus menunjukkan rasa hormat yang tinggi buat salah seorang atlet terhebat dalam sejarah sukan ini."