Piala Dunia Qatar: Memalukan gagal kalahkan Jerman - Enrique
Sinar Harian
November 28, 2022 09:30 MYT
November 28, 2022 09:30 MYT
KEGAGALAN mengalahkan Jerman dalam aksi kedua Kumpulan F Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Al Bayt pada Isnin sebagai sesuatu yang memalukan.
"Ada satu perasaan yang pelik di bilik persalinan kerana kami berpeluang menewaskan Jerman, tetapi memalukan apabila kami mensia-siakan kesempatan itu," ujar jurulatih Sepanyol, Luis Enrique.
Justeru Sepanyol enggan memandang rendah aksi terakhir menentang Jepun dan menyasarkan untuk menang biarpun kini masih mendahului Kumpulan F selepas terikat 1-1 dengan Jerman.
"Cuma kami perlu berfikir yang kami masih mendahului kumpulan maut ini dan terus berpandangan positif.
"Keputusan seri ke atas Jepun sudah cukup untuk Sepanyol layak tetapi kami tidak mahu berspekulasi. Kami akan turun dengan kekuatan penuh dan mendapatkan kemenangan untuk terus kekal mendahului carta kumpulan," ujar Enrique.
Sepanyol mempamerkan aksi yang lebih baik dan mendahului pada minit ke-67 menerusi Alvaro Morata.
Bagaimanapun kelebihan itu dipadam menerusi gol penyamaan Niclas Fuellkrug pada minit ke-83.
Keputusan seri itu menafikan kemenangan kedua berturut-turut Sepanyol selepas membuka kempen dengan kemenangan 7-0 ke atas Costa Rica.
Mengulas aksi tersebut, Enrique akan meneliti semula corak permainan mereka dan kelemahan yang perlu diperbaiki agar tidak berulang pada perlawanan seterusnya.
"Di Piala Dunia dan semua pasukan ada kualiti masing-masing.
"Kita kurang kemas dan kurang segar sepanjang perlawanan berdepan Jerman, mungkin juga kurang ketenangan.
"Tetapi kami katakan dalam bilik persalinan bahawa tekanan juga satu kelebihan. Jadi kami perlu menanganinya seperti biasa.
"Kalau kita mahu bermain tujuh perlawanan (sehingga final), kami perlu memberikan yang terbaik," kata Enrique. - Sinar Harian