Piala Dunia Qatar: Luis de la Fuente individu paling tepat latih Sepanyol
Astro Arena
Disember 13, 2022 10:10 MYT
Disember 13, 2022 10:10 MYT
LUIS de la Fuente yakin tiada jurulatih yang lebih baik untuk mengendalikan Sepanyol selain dirinya apabila bercakap buat kali pertama sejak diumumkan sebagai pengganti Luis Enrique.
La Roja berpisah dengan jurulatih sebelum ini berikutan tersingkir mengejut kepada Maghribi dalam pusingan 16 Piala Dunia.
De la Fuente, yang pernah membimbing skuad B-19, B-21 dan B-23 Sepanyol sejak sedekad lalu disahkan untuk menggalas peranan di peringkat senior dan jurulatih berusia 61 tahun itu perlu bekerja keras menjelang kelayakan Euro 2024.
Bercakap ketika diperkenalkan secara rasmi, bekas pertahanan Athletic Bilbao itu menyatakan dia adalah orang yang tepat untuk mengambil alih jawatan berkenaan sambil berikrar untuk bersikap fleksibel ketika menangani pasukan kebangsaan.
"Saya merupakan pemain bola sepak profesional selama 15 tahun," katanya.
"Saya pernah memenangi gelaran. Saya pernah melatih di peringkat antarabangsa dalam semua kategori umur kecuali senior.
"Dengan rendah hati dan jujur, jika ada seseorang yang tahu apakah masa depan bola sepak Sepanyol, maka saya adalah orang yang tepat. Anda tahu siapa yang mengambil alih pasukan ini.
"Kami tidak akan bertolak ansur dengan falsafah kami. Saya akan cuba memperbaikinya, mentafsir evolusinya. Kami tidak akan menutup minda kami."