LIONEL Messi berkata Argentina tidak mahu mencipta sebarang alasan selepas tumbang 1-2 kepada Arab Saudi ketika membuka kempen Piala Dunia Qatar di Stadium Lusail, pada Selasa.

Argentina menuju ke kejohanan itu sebagai salah satu pasukan pilihan untuk menjulang trofi ketiga mereka dan sepakan penalti yang disempurnakan Messi memberi gol pendahuluan buat La Albiceleste dalam separuh masa pertama, sekali gus menyerlahkan keupayaan mereka dalam aksi pertama Kumpulan C.

Bagaimanapun, dua gol dalam tempoh lima minit daripada Saleh Al Shehri dan Salem Al Dawsari benar-benar mengubah skrip perlawanan dan pasukan yang diketuai bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu berdepan kritikan hebat selepas mencatat salah satu kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia.

Messi mengakui dia dan rakan sepasukannya tidak sepatutnya berusaha untuk mewajarkan kekalahan yang mengejutkan itu, sungguhpun dia berharap ia mampu mengejutkan mereka yang masih lena.

“Tiada alasan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas perlawanan.

“Ia adalah satu tamparan yang sangat sukar buat semua orang, kami tidak sangka akan bermula seperti ini.

"Kami akan lebih bersatu hati berbanding sebelum ini. Kumpulan ini mantap dan mereka telah menunjukkannya.

“Ia merupakan situasi yang kami tidak pernah lalui sejak sekian lama. Sekarang kami perlu membuktikan bahawa kami mempunyai kumpulan yang sebenar.


"Ada sebab perkara seperti ini berlaku. Kami perlu bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan yang akan datang, kami perlu menang dan ia bergantung kepada kami sendiri," katanya.

Juara dua kali yang masih segar dengan kejayaan Copa America itu kini perlu mengatur semula langkah mereka untuk menghadapi Mexico, awal pagi Ahad ini, selepas rekod tanpa kalah sepanjang 35 perlawanan lalu berkecai semalam. - Astro ARENA