Piala Dunia Qatar: Kemunculan Morgan Freeman, Ghanim Al-Muftah tarik perhatian ramai
Faida Rahim
November 21, 2022 14:07 MYT
November 21, 2022 14:07 MYT
DOHA: Ada sesuatu unik pada upacara pembukaan Piala Dunia 2022 yang berlangsung meriah di Stadium Al Bayt, Qatar, semalam.
Barisan selebriti seluruh dunia termasuk anggota kumpulan BTS, Jungkook tampil membuat persembahan istimewa.
Apa yang lebih menarik, penampilan pelakon veteran Amerika Syarikat, Morgan Freeman yang turut muncul bersama Ghanim Al-Muftah yang merupakan duta Piala Dunia 2022.
Ghanim dan Morgan Freeman berbual sambil membawa mesej keamanan dan turut menekankan isu kemanusiaan dan hormat-menghormati.
Dalam masa sama, pemuda berusia 20 tahun ini turut melantunkan potongan ayat suci Al-Quran, Surah Al-Hujurat, ayat 13.
"Wahai manusia! Sesungguhnya, kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa."
Ghanim Al-Muftah dilahirkan pada 5 Mei 2002. Dilahirkan dengan penyakit dikenali Caudal Regression Syndrome (CDS), lahir tanpa bahagian bawah badan.
CDS adalah gangguan yang mengganggu perkembangan bahagian bawah badan. Kawasan yang terjejas mungkin termasuk bahagian bawah belakang dan kaki, saluran genitouriner, dan saluran pencernaan.
Walau bagaimanapun, Ghanim seorang yang positif dalam mengharungi liku hidup dan sosoknya menjadi idola ramai.
Bendera peserta dan jersi 32 pasukan turut ditayangkan pada upacara pembukaan semalam. Sementara itu, lagu tema Piala Dunia 1998 iaitu La Copa De La Vida hingga Piala Dunia 2022 berjudul Hayya Hayya juga dipersembahkan.