Piala Dunia Qatar: Kalau tahu saya mungkin sudah kena serangan jantung - Luis Enrique

Astro Arena
Disember 2, 2022 11:00 MYT
Luis Enrique mengakui bahawa dia sebenarnya tidak menyedari keputusan semasa dan bersyukur untuk tidak mengetahuinya. - Astro ARENA
LUIS Enrique boleh mendapat serangan jantung sekiranya dia tahu Sepanyol akan tersingkir daripada Piala Dunia di Qatar dalam pertembungan dramatik hujung perlawanan Kumpulan E, awal pagi tadi.
Sepanyol tumpas 1-2 kepada Jepun yang bangkit dalam separuh masa kedua selepas memadam gol pembukaan Alvaro Morata di Stadium Antarabangsa Khalifa.
Piala Dunia Qatar: Jepun juara Kumpulan E, Sepanyol cemas
La Roja turun sebagai pendahulu kumpulan dan hanya memerlukan satu mata untuk layak.
Namun, mereka gagal merealisasikan tetapi kemenangan 4-2 Jerman ke atas Costa Rica dalam satu lagi pertembungan yang berlangsung serentak membantu perjuangan anak buah Luis Enrique yang mereka mengiringi kemaraan Jepun sementara Die Nationalelf tersisih.
Bagaimanapun, Sepanyol berdepan mimpi ngeri selama beberapa minit sebaik mengetahui Costa Rica sedang mendahului Jerman.
Luis Enrique mengakui bahawa dia sebenarnya tidak menyedari keputusan semasa dan bersyukur untuk tidak mengetahuinya.
"Kami berdepan penyingkiran selama tiga minit? Kenapa kami katakan begitu? Saya tidak ambil perhatian," kata Luis Enrique dengan wajah kebingungan.
"Bila ia berlaku?
"Baiklah, bagus. Saya tidak menyedarinya. Kenapa? Kerana saya tengah memberi perhatian kepada perlawanan saya. Kalau saya tahu, saya akan diserang sakit jantung."
Kekalahan itu akhirnya menguntungkan juara 2010 tersebut kerana ramai yang berpendapat laluan mereka ke peringkat kalah mati kini lebih baik berbanding jika mereka memenangi kumpulan.
Mengungguli Kumpulan E akan memastikan mereka menempah pertemuan dengan Croatia dan berpotensi jumpa Brazil di peringkat suku akhir.
#Piala Dunia 2022 #Luis Enrique #Tersingkir #Kumpulan E
;