Piala Dunia Qatar: Jaringan Kudus pastikan Ghana sekat kebangkitan Korea Selatan

Astro Arena
November 28, 2022 00:50 MYT
Ghana menyekat kebangkitan yang cuba dilakukan Korea Selatan, sekali gus menang 3-2 dalam perlawanan Kumpulan H, Piala Dunia Qatar di Stadium Education City. - Foto AP
JARINGAN Mohammed Kudus memastikan Ghana menyekat kebangkitan yang cuba dilakukan Korea Selatan, sekali gus menang 3-2 dalam perlawanan Kumpulan H, Piala Dunia Qatar di Stadium Education City sebentar tadi.
Taeguk Warriors kelihatan akan melakar kemenangan dalam pertemuan kali ini selepas menyamakan kedudukan setelah ketinggalan 0-2 tetapi gol peribadi kedua Kudus menafikan pekara itu.
Selepas permulaan Goyah sepanjang 20 minit pertama, Mohammed Salisu meletakkan Black Stars di depan pada minit ke-24 sebelum Ghana mendahului 2-0 menerusi penyudah Kudus berselang 10 minit.
Bagaimanapun, Chow Hue-sung kemudian menghasilkan dua gol tandukan dalam tempoh tiga minit, masing-masing pada minit ke-58 dan 61 untuk pasukan bimbingan Paulo Bento itu kembali memberikan saingan.
Akan tetapi, kebangkitan itu bukanlah satu petanda bahawa kemenangan akan memihak Korea Selatan, sebaliknya Kudus tenang menjaringkan gol kemenangan pasukannya selepas Inaki Willimas terlepas peluang terhidang pada minit ke-68.
Korea Selatan selepas itu melakukan segala-galanya untuk mencari gol penyamaan sehingga ke wisel terakhir tetapi jaringan yang dicari mereka tidak pernah tiba sambil Bento pula dilayangkan kad merah selepas wisel penamat gara-gara mempertikaikan keputusan pengadil tidak memberikan sepakan penjuru terakhir buat pasukannya.
Dengan kekalahan itu, Korea Selatan tiada pilihan selain menewaskan Portugal dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan pada Jumaat ini jika mahu melayakkan diri ke pusingan 16 sambil Ghana pula hanya memerlukan satu mata dalam aksi menentang Uruguay pada hari dan waktu yang sama.
#Ghana #Korea Selatan #Piala Dunia Qatar 2022 #Mohammed Kudus
;