Piala Dunia Qatar: Depay sindir bekas bintang NBA, Charles Barkley perlekeh Belanda
Astro Arena
Disember 4, 2022 12:06 MYT
Disember 4, 2022 12:06 MYT
MEMPHIS DEPAY membidas bekas bintang Bola Keranjang Kebangsaan (NBA) merangkap penganalisis TV Amerika Syarikat (AS), Charles Barkley, berikutan kemenangan 3-1 Belanda ke atas AS dalam pusingan 16, Piala Dunia, awal pagi tadi.
Depay membuka jaringan dalam kemenangan itu selepas Barkley mula merendah-rendahkan keupayaan negaranya termasuknya yang belum melakar sebarang jaringan menjelang pertembungan peringkat kalah mati berkenaan.
Barkley berkata kepada NBA di TNT: "Kita akan menyingkirkan Belanda. Kita akan bersuka ria kerana saya jamin Belanda dalam masalah."
Sebelum sepak mula pertemuan mereka, akaun Twitter rasmi skuad Oranje menciap video petikan Barkley itu dan penyerang Barcelona tersebut akhirnya berada di sebelah pihak yang menyambut kejayaan.
"Banyak menyalak, tanpa gigitan," ciap Depay di Twitter hanya beberapa jam selepas perlawanan itu dengan imej Barkley yang kelihatan sedih dengan keputusan 3-1 terpampang.
Kemenangan itu bermakna pasukan Eropah berkenaan akan berdepan Argentina dalam suku akhir, awal pagi Sabtu depan. -- Stadium Astro