Piala Dunia Qatar: Australia iringi Perancis ke pusingan 16, Tunisia, Denmark kecewa
Astro Arena
November 30, 2022 05:30 MYT
November 30, 2022 05:30 MYT
AUSTRALIA mengiringi Perancis ke pusingan 16 Piala Dunia Qatar 2022 selepas menang tipis 1-0 ke atas Denmark dalam perlawanan terakhir Kumpulan D di Stadium Al Janoub tengah malam tadi.
Berbekalkan satu kemenangan daripada dua perlawanan terdahulu, Socceroos hanya memerlukan satu mata untuk ke pusingan kalah mati dan jaringan Mathew Leckie pada minit ke-60 memastikan mereka menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan himpunan enam mata dan hanya dibezakan jumlah jaringan dengan pendahulu, Perancis.
Dalam pada itu, satu lagi aksi Kumpulan D di Stadium Education City pula menyaksikan Tunisia mengejutkan juara bertahan, Perancis.
Les Bleus, yang telah mengesahkan kemaraan lebih awal berbekalkan dua kemenangan terdahulu, menurunkan barisan keduanya dalam pertemuan kali ini dan ia mengundang padah apabila rekod tanpa kalah mereka dimusnahkan Tunisia.
Pasukan bimbingan Didier Deschamps itu dikejutkan dengan gol pembukaan Tunisia yang dijaringkan Wahbo Khazri pada minit ke-58.
Biarpun keputusan itu tidak dapat mengubah nasib Nusur Qartaj, ia sekurang-kurangnya memastikan mereka dapat meninggalkan Qatar dengan pungutan empat mata hasil satu kemenangan dan satu keputusan seri.
Denmark, dalam pada itu, terpaksa akur menamatkan kempen kali ini dengan hanya mengutip satu mata.