DOHA: Presiden Perancis Emmanuel Macron mengucapkan tahniah kepada Maghribi susulan penampilan memberangsangkan pasukan itu dalam perlawanan yang cukup mendebarkan awal pagi tadi.

Menurut Macron, kemampuan pasukan Atlas Lions itu mengatasi lawan yang lebih gagah seterusnya mara ke peringkat separuh akhir telah membuka mata banyak pihak.

"Kepada rakan-rakan Maghribi kami, tahniah atas perjalanan yang indah ini.

"Anda telah melakar sejarah bola sepak," kata Macron di akaun Twitternya yang memaparkan gambar penyerang Perancis Kylian Mbappé memeluk rakan baiknya Achraf Hakimi dari pasukan kebangsaan Maghribi selepas perlawanan.


Presiden Perancis itu berada di Stadium Al Bayt di mana pasukan kendalian Didier Deschamps menewaskan Atlas Lions 2-0, dengan gol daripada Theo Hernandez dan Randal Kolo Muani.

"Rakan senegara kita memerlukan sedikit kegembiraan; sukan dan bola sepak khususnya menyediakannya.

"Saya berasa jauh lebih baik sekarang berbanding sejam setengah yang lalu."

IKUTI RANGKUMAN BERITA PIALA DUNIA 2022 DI SINI 

"Kami telah banyak bersusah payah tetapi akhirnya kita melihat pasukan yang hebat.

"Terima kasih yang tidak terhingga kepada jurulatih dan pasukan ini yang sebenarnya merupakan gabungan beberapa generasi dan itulah yang kehebatannya.

"Deschamps ada di sini, dengan usaha dan bakatnya. Kami membawa kembali piala dan sudah tentu Deschamps perlu kekal.

"Pasukan Perancis ini buat saya berasa sangat bangga," kata Macron.


Maghribi mencipta kejayaan sebagai pasukan Arab pertama mara ke suku akhir dan pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir.

Maghribi mempunyai peluang untuk menjadi negara Afrika pertama mara ke final Piala Dunia sebelum dikecewakan Perancis.

Pasukan Les Bleus itu kini bersedia untuk menjadi pasukan pertama berjaya mengekalkan kejuaraan Piala Dunia dalam tempoh 60 tahun pada Ahad ini.