Piala Dunia Qatar 2022: Pelanggan Pek Sukan Astro boleh akses sepenuhnya 64 perlawanan

Fareez Azman
September 1, 2022 21:22 MYT
Peminat sukan berpeluang menikmati Piala Dunia FIFA Qatar 2022 sepenuhnya dengan akses percuma di televisyen dan aplikasi Astro GO. - Gambar/ Astro
KUALA LUMPUR: Demam Piala Dunia FIFA Qatar 2022 semakin terasa dengan 32 pasukan bakal berentap bagi menjulang piala terulung dalam sukan bola sepak.
Sehubungan itu, berita baik buat pelanggan Pek Sukan Astro, apabila mereka berpeluang menikmati Piala Dunia FIFA Qatar 2022 sepenuhnya dengan akses percuma di televisyen dan aplikasi Astro GO.
Perkara itu diumumkan Euan Smith, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Astro dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Televisyen pada Khamis.
"Sebagai Home of Sports, kami sangat teruja untuk menawarkan pelanggan Pek Sports Astro pengalaman menonton Qatar 2022 yang paling premium dan komprehensif.
"Kami akan menayangkan semua 64 perlawanan secara langsung di mana 37 daripadanya adalah eksklusif di Astro melalui tiga saluran yang dikhususkan, dua dalam HD dan satu dalam UHD," jelasnya.
Pelanggan juga jelas Euan, boleh menikmati Julat Dinamik Tinggi (HDR) jika menggunakan Ultra Box Astro.
Bagi penonton yang terlepas perlawanan tertentu, mereka boleh menonton semula perlawanan pasukan kegemaran dengan hanya menggunakan Cloud Record.
"Menjelang Qatar 2022, peminat boleh menikmati kandungan-kandungan sukan terbaik kami.
"Kami menyiarkan Liga Perdana, Formula 1, Liga Juara-Juara EUFA dan Liga Europa, La Liga, Tenis Terbuka AS dan DFB Pokal (Piala Jerman) dalam definasi 4K UHD.
"Kami teruja untuk berkongsi bahawa kami akan membawa barisan legenda bola sepak yang menarik ke studio kami untuk menyampaikan pengetahuan tentang perlawan-perlawanan terbaik bersama sama dengan kemas kini berita dan program sorotan perlawanan.
"Pelanggan Pek Sport kami boleh bertemu legenda-legenda ini di pesta tontonan dan acara Meet and Greet eksklusif semasa Qatar 2022. Nantikan butiran lanjut dan peraduan eksklusif lain di Astro Rewards," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pratonton Pengalaman Qatar World Cup 2022 bersama Astro di Sunway Pyramid, Subang Jaya pada Khamis.
Selain itu, penonton Astro juga boleh menyertai pencarian harta karun 'The Quest" bersama Astro yang akan diadakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Kuantan, Pahang.
Hadiah menarik menanti pemenang termasuk barangan eksklusif Piala Dunia FIFA. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman sesawang www.astro.com.my.
#Piala Dunia Qatar 2022 #Astro #pelanggan #World Cup
;