Piala Dunia: Pertempuran penunjuk perasaan dan anggota polis cemari hari pembukaan

Agensi
Jun 12, 2014 23:23 MYT
Protes anti Piala Dunia di Sao Paulo, Brazil - Gambar oleh AFP
Polis di Sao Paulo bertindak menyembur gas pemedih mata, bom renjat dan peluru getah pada Khamis bagi meleraikan protes anti Piala Dunia pada hari warga Brazil menjadi tuan rumah perlawanan pembukaan kejohanan tersebut.
Peserta tunjuk perasaan berkumpul di stesyen kereta api bawah tanah Sao Paulo sambil memegang kain rentang berwarna merah yang bertulis ‘Jika kami tidak ada hak, tidak perlu adanya temasya ini diadakan’ serta menambah mereka bercadang untuk berarak menuju Corinthians Arena iaitu stadium Piala Dunia bandar tersebut.
Namun polis yang membawa penghadang anti-protes sempat menyuraikan penunjuk perasaan sebelum mereka sempat berarak selain melepaskan bom renjat dan gas pemedih mata.
Seorang pegawai polis turut dilihat melepaskan peluru getah kepada seorang peserta perhimpunan yang tidak memakai baju yang ketika itu sedang berdiri di tengah jalan dan enggan beredar. Pihak polis kemudian menahan lelaki terbabit.
Gregory Leao, seorang pelajar jurusan undang-undang berusia 27 tahun yang turut menyertai protes itu berkata peserta protes bercadang menceroboh stadium.
“Objektif kami adalah untuk menghentikan Piala Dunia. Kami sedar kami tidak dapat mencapai hasrat itu tetapi kami percaya warga Brazil patut bangkit membantah,” beliau memberitahu AFP.
“Rakyat Brazil suka akan bola sepak tetapi kami tidak memerlukan ini (Piala Dunia) sekarang.”
Warga Brazil telah berbeza pendirian pada Khamis memisahkan antara mereka yang teruja dengan temasya itu yang berpakai kuning dan hijau sebagai tanda sokongan kepada pasukan negara mereka serta mereka yang bimbang dengan protes anti Piala Dunia itu dan mereka yang berazam untuk turut serta dalam protes itu.
#Brazil #kereta api bawah tanah #Piala Dunia #polis
;