Piala Dunia: Perlawanan Brazil-Chile pecahkan rekod Twitter
Agensi
Jun 29, 2014 22:16 MYT
Jun 29, 2014 22:16 MYT
Sejumlah 16.3 juta tweet dicatatkan ketika perlawanan Piala Dunia Brazil menentang Chile awal pagi tadi sekaligus memecah rekod sebagai jumlah tweet paling tinggi bagi sesebuah acara sukan yang disiarkan secara langsung.
Perlawanan menyaksikan Brazil melangkah ke suku akhir dalam perlawanan penuh debaran apabila menewaskan Chile menerusi penentuan sepakan penalti dengan jaringan 3-2.
Detik sepakan terakhir dimana Chile terlepas jaringan mencatatkan sejumlah 388,985 tweet seminit, menurut Twitter kepada AFP.
Ini memintas rekod yang dicatatkan sebelum ini oleh acara Super Bowl, iaitu 382,000 tweet seminit.
Adalah sudah diduga, jaringan penyerang Brazil, Neymar yang menjaringkan gol terakhir pasukannya menjadi nama pemain yang paling banyak disebut dalam tweet ketika perlawanan itu.
Pihak Twitter berkata lebih 300 juta pesanan telah dihantar berkaitan acara sukan itu sejak perlawanan peringkat kumpulan bermula.
Piala Dunia 2014 juga sudah hampir pasti menjadi acara yang paling banyak disebut dalam sejarah Twitter.
Sebelum hari ini, perlawanan Brazil dan Croatia telah mencatatkan 12.2 juta tweet sekaligus menjadi perlawanan paling tinggi menerima komen di laman Twitter.