Piala Dunia Paintball: 'Tunjukkan taring, banggakan Malaysia'

Sinar Harian
Ogos 27, 2024 21:11 MYT
Eldeen (lima dari kanan) bersama dengan pasukan paintball wanita yang bakal beraksi di Piala Dunia UPBF Rabu ini di Dreux, Perancis. - Sinar Harian
PASUKAN paintball wanita Malaysia yang bakal beraksi di Piala Dunia Persekutuan Paintball (UPBF) 2024 di Dreux perlu menunjukkan taring dan membuktikan kebolehan Malaysia di pentas antarabangsa.
Duta Besar Malaysia di Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim berkata, sesiapapun yang membawa Jalur Gemilang, maka mereka perlulah bermain bermati-matian kerana tanggungjawab yang telah diamanahkan.
"Kami di pihak kedutaan akan sentiasa menyokong mereka yang membawa nama Malaysia. Bermainlah bersungguh-sungguh hingga menang.
"Jika bawa bendera Malaysia, ertinya kamu membawa kami semua sekali," katanya ketika menerima kunjungan dari pasukan paintball wanita di bangunan kedutaan di Paris.
Piala Dunia UPBF 2024 yang berlangsung pada 28 dan 29 Ogos ini menampilkan hanya satu pasukan dari Malaysia bagi kategori wanita.
Pasukan dipimpin ketua pasukan, Nurul Salwa Kamarul Zaman itu akan berentap dengan tujuh pasukan wanita negara lain seperti Amerika Syarikat (AS), Jerman, Brazil dan tuan rumah, Perancis.
Piala Dunia UPBF dibahagikan kepada lima kategori iaitu lelaki, wanita, veteran, Bawah 19 tahun (B-19) dan Bawah 16 tahun (B-16).
Turut berlangsung di Dreux ialah pertandingan NXL Eropah 2024 yang terbahagi kepada tujuh divisyen dengan lebih 60 pasukan berentap merebut juara kejohanan.
*Artikel asal disiarkan di Sinar Harian
#Paintball #paintball wanita Malaysia #upbf #Piala Dunia Persekutuan Paintball