Piala Dunia: Miroslav Klose selamatkan Jerman dari kekalahan

Haider Yutim
Jun 21, 2014 07:23 MYT
Jerman menghadapi kesukaran menewaskan Ghana.
Pasukan Jerman gagal mencatatkan kemenangan apabila hanya seri dengan Ghana dalam perlawanan Kumpulan G Piala Dunia 2014 yang berlangsung di Arena Castelao, awal pagi tadi.
Separuh masa pertama menyaksikan permainan didominasi oleh pasukan Die Mannschaft itu, namun telah berjaya diserang balas oleh Ghana.
Tetapi pada minit ke-51, penyerang tengah Jerman, Mario Gotze telah menjaringkan gol, hasil dari hantaran cantik Thomas Muller.
Namun perlawanan 'diganggu' sebentar oleh seorang penyokong Jerman yang berlari separuh bogel ke dalam padang. Lelaki itu jelas gembira dengan jaringan oleh Gotze itu.
Bagaimanapun pasukan Ghana telah berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan pemain sayap mereka, Andre Ayew pada minit ke-54.
Ghana sekali lagi mengejutkan keadaan apabila penyerang mereka Asamoah Gyan, melalui hantaran Sully Muntari, telah merembat ke dalam gol pada minit ke-63, meletakkan kedudukan 2-1.
Namun pada minit ke-71, Jerman menerusi Miroslav Klose, telah menjaringkan gol hasil sepakan sudut oleh Toni Kroos yang ditolak ke hujung gawang oleh Benedikt Hoewedes.
Jaringan tersebut telah berjaya menyamakan menjadi 2-2.
Jerman kini pasukan teratas dalam Kumpulan G tersebut, tetapi keputusan Amerika Syarikat (AS) menentang Portugal malam nanti boleh merubah kedudukan tersebut.
PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Miroslav Klose
#2014 #Ghana #Jerman #Miroslav Klose #Piala Dunia
;