Piala Dunia Kuala Lumpur cetus penanda aras baharu sepak takraw - ISTAF
Bernama
Jun 6, 2024 14:53 MYT
Jun 6, 2024 14:53 MYT
KUALA LUMPUR: Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw Kuala Lumpur yang berlangsung dari 18 hingga 26 Mei di Stadium Titiwangsa di sini, mencetuskan satu penanda aras baharu untuk kecemerlangan sukan itu, kata Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).
Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata kejayaan cemerlang acara itu yang menyaksikan tuan rumah Malaysia merangkul dua pingat emas ternyata mengagumkan komuniti sepak takraw global.
"Ia memperlihatkan keberkesanan sistem kiraan baharu 15 mata yang memastikan permainan sama rata untuk semua negara yang mengambil bahagian. Perubahan inovatif ini menambah semangat persaingan, mencetuskan pendekatan baharu dan dinamik kepada permainan, menjadikannya lebih mendebarkan bukan sahaja kepada pemain malahan buat penonton.
"Kami mengiktiraf dedikasi serta kegigihan para atlet, jurulatih dan pegawai yang komitmen dan semangat mereka memainkan peranan penting dalam melakar kejayaan ini.
"Persembahan luar biasa serta permainan strategik yang dipamerkan memacu standard dan mempamerkan kepada dunia potensi sebenar sukan ini," katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Halim turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di bawah pimpinan Datuk Mohd Sumali Reduan atas pencapaian cemerlang itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh untuk sokongan yang diberikan dan kepada semua negara peserta atas semangat juang serta kesukanan mereka.
"ISTAF senantiasa komited untuk mempromosikan sepak takraw di peringkat global dan terus menonjolkan sukan ini dalam arena sukan antarabangsa. Kejayaan pelaksanaan sistem kiraan baharu pada kejohanan ini bukti keupayaan kami untuk mengadaptasi dan membuat pembaharuan. Kami berharap dapat meningkatkan lagi profil sukan ini di persada dunia," tambah beliau.
-- BERNAMA