Piala Dunia Kelab: Liverpool juara buat kali pertama

Astro Arena
Disember 22, 2019 10:03 MYT
Pemain Liverpool Roberto Firmino dan Alisson bergambar bersama pingat dan trofi yang diterima pasukan itu selepas memenangi Piala Dunia Kelab di Stadium Khalifa International, Doha, Qatar, 21 Dis, 2019. REUTERS
LIVERPOOL 1 FLAMENGO 0
(Selepas masa tambahan)
Jaringan tunggal Roberto Firmino dalam masa tambahan memastikan juara Eropah, Liverpool, dinobatkan sebagai juara Piala Dunia Kelab buat kali pertama selepas menewaskan Flamengo 1-0 di Doha, Qatar awal pagi tadi.
Perlawanan final sengit itu sepatutnya ditamatkan Firmino sebelum minit ke-99 tetapi penyerang itu mensia-siakan dua peluang di depan gawang.
Liverpool juga dinafikan daripada memperoleh sepakan penalti pada penghujung masa sebenar selepas rujukan video bantuan pengadil (VAR) memberikan Flamengo -- lawan yang menumpaskan The Reds dalam final Piala Antara Benua pada 1981 -- peluang untuk mengheret perlawanan.
Bagaimanapun, pendahulu Liga Perdana Inggeris itu mendominasi masa tambahan dan Firmino akhirnya menemui jaring lawan untuk membawa keraian itu ke Merseyside.
Liverpool menjaringkan gol pertama pada minit kedua dalam final Liga Juara-Juara Eropah, Jun lalu, dan Firmino sepatutnya meletakkan mereka di depan pada minit ke-40 perlawanan di Doha itu tetapi penyudahnya melambung tinggi biarpun sudah melepasi pertahanan lawan.
Naby Keita turut terlepas peluang sama apabila Jordan Henderson mengesan Mohamed Salah yang tidak dijaga untuk penyerang itu melakukan lorongan.
Percubaan jarak jauh Trent Alexander Arnold pula sedikit tersasar bagi menggambarkan permulaan positif buat skuad kendalian Jurgen Klopp itu.
Selepas mensia-siakan peluang dalam babak pertama, Firimino sekali lagi mengulangi kesilapannya pada awal babak kedua apabila dia yang bijak menewaskan Rodrigo Caio dengan lambungannya mengakhiri percubaan kaki kirinya di tiang gol lawan.
Salah turut melakukan percubaan yang tersasar untuk Liverpool terus buntu di bahagian depan tetapi Gabriel Barbosa memperoleh dua peluang berturut-turut dengan salah satu daripadanya diselamatkan rakan senegaranya di depan gawang Liverpool, Alisson.
Ketika Liverpool sedang gusar dengan kecederaan Alex Oxlade-Chamberlain yang terpaksa dipapah keluar kerana pendaratan yang kurang kemas, Henderson hampir memecah kebuntuan pada minit ke-86 tetapi sepakan lencongnya dikuis keluar penjaga gol, Diego Alves.
Masih ada ruang untuk drama pada lewat permainan apabila pengadil, Abdulrahman Al Jassim, menghadiahkan sepakan penalti buat Liverpool selepas Rafinha didapati mengasari Sadio Mane tetapi pengadil itu mengubah keputusannya selepas rujukan video di tepi padang.
Kebuntuan jaringan akhirnya ditamatkan pada minit kesembilan masa tambahan apabila Henderson melakukan hantaran kepada Mane, yang tenang bergandingan dengan Firmino dan memperdayakan Alves untuk penyerang itu merembat masuk bola ke gawang yang sudah tidak dijaga.
Hasrat Salah untuk mencatatkan nama selaku penjaring kedua dinafikan Alves dan pemain gantian, Lincoln, hampir menyamakan kedudukan buat Flamengo pada minit ke-119, namun percubannya di depan gawang melambung tinggi untuk mengesahkan kejuaraan pertama skuad kendalian Klopp itu.
#Jordan #jurgen klopp #Liga Perdana Inggeris #Liverpool #Manchester City #Piala Dunia #Qatar #video
;