Piala Dunia Hoki Dalam Dewan: Malaysia kalah lagi, kali ini kepada Argentina
Bernama
Februari 4, 2025 05:50 MYT
Februari 4, 2025 05:50 MYT
KUALA LUMPUR: Hasrat skuad hoki dalam dewan lelaki negara untuk mara ke pusingan kalah mati semakin pudar selepas tewas 2-5 kepada Argentina pada perlawanan kedua kumpulan B kempen Piala Dunia 2025 semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Zatika, Porec, Croatia itu, Malaysia yang dibimbing Rodzhanizam Mat Radzi bermula dengan baik selepas membuka tirai jaringan menerusi gol padang Shamie Irfan Suhaimi pada minit ke-12.
Bagaimanapun momentum itu gagal diteruskan apabila Argentina berjaya membolosi gawang Malaysia sebanyak dua kali menerusi gol padang Gaston Rodriguez dan Facundo G Navarro masing-masing pada minit ke-17 dan 19 untuk mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.
Memasuki separuh kedua, Argentina sekali lagi merobek gawang Malaysia selepas Gaston menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-26.
Malaysia bangkit untuk merapatkan jurang gol apabila Muhammad Najmi Farizal Jazlan berjaya membolosi gawang Argentina pada minit ke-39 hasil pukulan sudut penalti.
Namun, Argentina menambah derita Malaysia apabila menjaringkan dua gol pada minit-minit akhir perlawanan menerusi pukulan sudut penalti dan penalti strok masing-masing disempurnakan oleh Alfredo Sosa dan Agustin Ceballos.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia menduduki tangga tercorot kumpulan B tanpa mata manakala Argentina di tempat ketiga dengan tiga mata hasil satu kemenangan dan satu kekalahan.
Mengulas perlawanan semalam, Rodzhanizam mengakui anak buahnya mempamerkan aksi lebih baik berbanding semalam namun berkata nasib tidak menyebelahi pasukan Malaysia apabila melakukan kesilapan hingga membenarkan lawan menjaringkan gol.
"Sebenarnya, kita boleh bagi saingan kepada Argentina pada perlawanan ini.
"Namun kesilapan dilakukan pemain menyebabkan pasukan Argentina berjaya menjaringkan gol," katanya menerusi audio yang dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini.
Menurut beliau, meskipun peluang Malaysia untuk ke pusingan ke suku akhir dilihat sukar selepas tewas dalam dua aksi sebelum ini, beliau berharap anak buahnya akan bangkit untuk perlawanan seterusnya menentang Iran awal pagi Khamis waktu Malaysia.
-- BERNAMA