Piala Dunia: Cristiano Ronaldo 3-3 Sepanyol

Israr Khalid
Jun 15, 2018 04:59 MYT
Ronaldo membuktikan dia masih lagi mahu dianggap pemain terbaik dunia pada usia 33 tahun. - Gambar AP
Malam penuh drama di Sochi.
Seluruh penonton di Stadium Fisht tidak senang duduk, apatah lagi meninggalkan stadium lebih awal sehingga wisel penamat dibunyikan untuk Cristiano Ronaldo seri dengan Sepanyol 3-3.
Maaf. Portugal 3-3 Sepanyol.
Ronaldo membuka tirai saingan negaranya dalam kempen Piala Dunia kali ini dengan melakar hatrik pertama dalam empat edisi yang disertainya sejak 2006.
Bermula minit keempat Ronaldo mencipta rekod apabila menjadi pemain keempat yang menjaringkan gol dalam setiap empat Piala Dunia yang disertai, selepas Uwe Seeler, Pele dan Miroslav Klose, dengan menyempurnakan penalti yang dianugerahkan pengadil Gianluca Rocchi.
Kemudian Diego Costa mencuri tumpuan dari Portugal dengan menggelecek dan mengacah tiga pertahanan Portugal sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan penjaga gol, Rui Patricio pada minit ke-24.
Seminit sebelum tamat babak pertama, David de Gea ‘bertukar’ menjadi penjaga gol Liverpool, Loris Karius apabila percubaan dari Ronaldo yang datang tepat ke arahnya gagal ditangkap kemas dan terbias ke dalam gawang untuk Portugal kembali di depan.
Pada minit ke-55, Costa merentap kembali Sepanyol untuk menyamakan kedudukan apabila menolak masuk bola di depan gawang, hasil tandukan silang Sergio Busquets.
Tidak lama selepas itu atau lebih tepatnya pada minit ke-58, rembatan Nacho Fernandez dari luar petak penalti menggegarkan penyokong di stadium dan sudah pasti juga di rumah yang menonton perlawanan ini, membayangkan tuah akan lebih memihak kepada Sepanyol.
Namun Ronaldo memusnahkan impian Sepanyol ketika perlawanan berbaki dua minit sebelum wisel penamat ditiupkan.
Sepakan percuma yang dirembat cantik menerjah terus ke gawang untuk Ronaldo melakar satu lagi sejarah, apabila menjaringkan 51 hatrik dalam kerjaya peribadinya sebagai pemain profesional.
Ia juga merupakan hatrik ke-51 yang dijaringkan dalam sejarah penganjuran Piala Dunia FIFA.
Perlawanan berakhir selepas lima minit masa kecederaan dimainkan, bermakna Portugal berada di tempat kedua di bawah Iran, yang mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan Maghribi 1-0 dalam saingan pertama Kumpulan B.
#Awani FIFA #Cristiano Ronaldo #Diego Costa #Espanya #Piala Dunia AWANI #Portugal #Raya Bola 2018 #sepanyol
;