PIALA DUNIA: Brazil dijangka menang tipis, Croatia pula boleh cipta 'upset'

Aizat Sharif
Jun 12, 2014 21:15 MYT
Brazil dijangka menang tipis namun Croatia akan dapat membuat 'upset'
Tepat jam 4 pagi (waktu Malaysia), Piala Dunia 2014 akan membuka tirai dengan perlawanan melibatkan tuan rumah Brazil dan Croatia.
Brazil kembali semula sebagai tuan rumah selepas mendapat penghormatan tersebut pada tahun 1950.
Sememangnya, semenjak Piala Dunia dianjurkan pada julung-julung kalinya pada 1930, Brazil merupakan pasukan yang tidak pernah gagal membuat penampilan di pentas Piala Dunia.
Daripada 19 edisi Piala Dunia, Brazil dianggap sebagai pasukan yang paling berjaya apabila menjadi juara sebanyak lima kali pada 1958, 1962, 1970, 1994 dan 2002 dan bermain di hadapan penyokong sendiri Brazil dijangka tidak mempunyai masalah untuk menjadi juara Kumpulan A dalam Piala Dunia 2014 ini yang turut dibarisi oleh Croatia, Cameroon dan Mexico.
Croatia yang merupakan pecahan dari Yugoslavia meraih pencapaian terbaik tempat ketiga dalam penampilan ulung mereka pada Piala Dunia 1998 di Perancis dimana ketika itu, penyerang sensasi negara itu, Davor Suker meledak dengan enam gol keseluruhan dan sekaligus dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan.
Dalam perlawanan pagi nanti, bahagian gawang Brazil dijangka akan dijaga rapi oleh Julio Cesar sementara di barisan pertahanan pula, kapten pasukan Thiago Silva akan bergandingan dengan Dani Alves, David Luiz dan Marcelo.
Sudah tentu, pemain tumpuan pada pagi ini adalah penyerang Barcelona, Neymar yang dijangka bergandingan bersama dengan penyerang Fluminense, Fred manakala perancang utama Chelsea, Oscar pula akan mengetuai barisan tengah bersama-sama Paulinho, Hulk dan Luis Gustavo.
Berdepan Croatia, Brazil seharusnya memanfaatkan kelebihan yang diberikan apatah lagi pabila bermain di khalayak ribuan penyokong sendiri di Stadium Arena Corinthians di Sao Paulo.
Views: Arena de São Paulo (Arena Corinthians) by Google Maps
Namun begitu, saingan yang bakal diberikan oleh Croatia juga turut tidak harus dipandang ringan kerana Croatia berkeupayaan untuk melakukan 'upset' seperti yang dilakukan mereka pada Piala Dunia 1998 di Perancis.
Oleh hal demikian untuk perlawanan pagi ini, pemain tengah kelab Sepanyol Real Madrid, Luka Modric yang baru mengecapi kejayaan menjuarai Liga Juara-Juara Eropah akan diletakkan sebagai perancang tengah Croatia bergandingan bersama-sama dengan pemain tengah Ivan Rakitic bersama Ivan Perisic dan Ognjen Vukojevic.
Penjaga gol Croatia yang akan dijangka diturunkan pada pagi ini pula ialah penjaga gol veteran, Stipe Pletikosa manakala Darijo Srna selaku ketua pasukan akan mengemudi barisan pertahanan bersama-sama Dejan Lovren, Vedran Corluka dan Daniel Pranjic.
Di barisan serangan pula, penyerang Bayern Munich, Mario Mandzukic tidak akan sama sekali diturunkan kerana digantung satu perlawanan setelah dibuang padang ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Iceland pada November tahun lalu.
Maka tugasan tersebut akan digalas oleh penyerang Hull City, Nikica Jelavic Yang dijangka diturunkan bergandingan bersama seorang lagi penyerang Croatia kelahiran Brazil, Eduardo.
Barisan kemungkinan
BRAZIL: Julio Cesar, David Luiz, Dani Alves, Thiago Silva, Marcelo, Paulinho, Oscar, Hulk, Luis Gustavo, Fred, Neymar.
CROATIA: Stipe Pletikosa, Darijo Srna, Dejan Lovren, Vedran Corluka, Daniel Pranjic, Ivan Rakitic, Luka Modric, Ivan Perisic, Ognjen Vukojevic, Eduardo, Nikica Jelavic.
#Brazil #Croatia #Piala Dunia 2014
;