Piala Dunia: Belgium singkirkan Brazil untuk mara ke separuh akhir

Ian Johan Ariff
Julai 6, 2018 04:19 MYT
Brazil tersingkir dari Piala Dunia FIFA Rusia 2018 selepas kalah kepada Belgium 2-1. - Gambar REUTERS/Toru Hanai
Brazil pulang ke kampung halaman dengan tangan kosong selepas tumpas 2-1 kepada Belgium di suku akhir, dalam perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi di Kazan Arena.
Belgium mendahului seawal minit ke-13 perlawanan, apabila sepakan sudut Nacer Chadli ditolak masuk Fernandinho ke dalam gawangnya sendiri, ketika cuba mengeluarkan bola dari bahaya.
Rakan sepasukannya di Manchester City, Kevin De Bruyne lebih cemerlang apabila menjaringkan gol kedua Belgium, menerusi satu serangan balas yang menyaksikan pemain berusia 27 tahun itu melepaskan rembatan yang deras untuk menewaskan Alisson di gawang.
Brazil cuba bangkit dalam babak kedua dengan gol daripada pemain gantian, Renato Augusto pada minit ke-76, namun ketangkasan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois menafikan pelbagai cubaan skuad samba itu, termasuk satu cubaan cantik dari Neymar pada lewat permainan.
Brazil sebelum itu nyaris mendapat gol pada awal babak pertama menerusi Thiago Silva apabila bola yang ditanduk Miranda susulan sepakan sudut singgah ke kakinya namun terkena tiang pada minit ke-8.
Peluang yang tidak dimanfaatkan itu dihukum Chadli lima minit kemudian, apabila sepakan sudutnya terkena Fernandinho sebelum memasuki gawangnya sendiri.
Marcelo turut mempunyai peluang untuk skuad A Selecao menyamakan kedudukan pada minit ke-26, namun tendangan kaki kirinya diselamatkan Courtois.
Pada minit ke-31, gol kedua Belgium terhasil daripada larian Romelu Lukaku yang gagal dihalang pemain Brazil, sebelum pemain Manchester United itu menghantar bola kepada De Bruyne yang tidak dikawal.
Pemain City itu kemudian melepaskan rembatan yang deras dari kanan padang untuk menewaskan Alisson.
Bersambung di babak kedua, Paulinho melepaskan satu rembatan di hadapan gol namun cubaannya diselamatkan Courtois.
Belgium mempunyai peluang untuk mendapat gol ketiga namun cubaan Eden Hazard hasil satu serangan balas sedikit tersasar di sebelah kanan gawang pada minit ke-62.
Augusto yang masuk sebagai pemain gantian menanduk masuk gol yang memberi sedikit harapan kepada Brazil, selepas menanduk hantaran Neymar.
Dalam masa kecederaan, Neymar kemudian cuba melencong bola ke penjuru gawang yang memaksa Courtois bekerja keras untuk menyelamatkan bola dari memasuki gawang.
Neymar sekali lagi menghantar bola yang cantik ke dalam kawasan penalti Belgium, namun Roberto Firmino gagal menanduk bola ke sasaran.
Perlawanan tamat dengan kemenangan 2-1 kepada Belgium, iaitu kemenangan kelima berturut-turut skuad bimbingan Roberto Martinez pada edisi Piala Dunia kali ini.
Belgium akan bertemu Perancis di separuh akhir pada 11 Julai jam 2 pagi waktu Malaysia.
Tonton: Brazil 1-2 Belgium
#Allsson #Awani FIFA #Belgium #Brazil #Eden Hazard #Fernandinho #Kazan Arena #Kevin de Bruyne #Marcelo #Nacer Chadli #Paulinho #Piala Dunia 2018 #Raya Bola 2018 #Renato Augusto #Romelu Lukaku #Thibaut Courtois #Vincent Kompany
;