Piala Dunia 2025: Malaysia tutup kempen kumpulan tanpa sebarang mata

Bernama
Februari 6, 2025 11:15 MYT
Walaupun tewas, Mohd Rodzhanizam berkata para pemainnya tetap mempamerkan disiplin memuaskan termasuk mengurangkan kesilapan kecil yang membawa padah kepada mereka dalam dua perlawanan sebelum ini. - Facebook Malaysian Hockey Confederation
KUALA LUMPUR: Skuad hoki dalam dewan lelaki negara menutup kempen Kumpulan B Piala Dunia 2025 tanpa sebarang mata selepas tewas 0-3 kepada Iran di Porec, Croatia, pada Rabu.
Dalam aksi yang berlangsung di Zatika Sports Centre, Malaysia, yang membuat penampilan sulung pada Piala Dunia, ketinggalan pada minit ke-10 menerusi gol pukulan sudut penalti oleh Seyedmohammad Ghoreishiroudbaraki.
Pasukan kendalian Mohd Rodzhanizam Mat Radzi sekali lagi terperangkap dengan situasi tersebut apabila giliran Mohsen Bohlouli menggandakan jaringan lawan pada minit ke-30 sebelum Sajjad Mamizadeh melengkapkan kemenangan juara bertahan Piala Asia itu menerusi gol padang selang enam minit kemudian.
Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia kekal di tangga tercorot Kumpulan B manakala juara tiga kali Jerman muncul juara kumpulan dengan sembilan mata, diikuti Iran yang mengumpul enam mata dan Argentina di tempat ketiga selepas mengutip tiga mata.
Hanya lapan pasukan terbaik dari peringkat kumpulan mara ke suku akhir, manakala baki empat pasukan akan beraksi pada perlawanan klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-12.
Malaysia membuka tirai kempen Piala Dunia 2025 dengan keputusan buruk apabila dimalukan Jerman 4-12 Isnin lepas, dan mengalami kekalahan kedua kepada Argentina 2-5, sehari kemudian.
Walaupun tewas, Mohd Rodzhanizam berkata para pemainnya tetap mempamerkan disiplin memuaskan termasuk mengurangkan kesilapan kecil yang membawa padah kepada mereka dalam dua perlawanan pertama peringkat kumpulan sebelum ini.
Beliau juga mengakui anak buahnya memiliki beberapa peluang menjaringkan gol menentang Iran dan berharap agar mereka dapat mengasah ketajaman untuk merobek gawang lawan lain di peringkat seterusnya.
"Saya rasa dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain pada hari ini, mereka boleh lebih fokus sehingga perlawanan terakhir pasukan Malaysia," katanya menerusi video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia kepada media.
-- BERNAMA
#Piala Dunia #hoki dalam dewan #Malaysia #Iran
;