Piala Dunia 2022: Skuad England pulang dengan 'Alley Cat'
Faida Rahim
Disember 12, 2022 15:15 MYT
Disember 12, 2022 15:15 MYT
DOHA: Meskipun pulang tanpa trofi Piala Dunia 2022, pemain pertahanan popular, Kyle Walker dan John Stones pulang ke England dengan sesuatu yang lebih istimewa.
Memetik laporan The Guardian, Walker dan Stones, dilaporkan berminat dengan kucing jalanan yang popular selepas dicampak di sidang media, baru-baru ini.
Menurut Stones, mereka merancang untuk membawa Dave pulang ke United Kingdom.
Dave kini dilaporkan berada di klinik veterinar tempatan untuk menjalani beberapa ujian dan vaksinasi. Difahamkan, Dave juga akan menghabiskan masa selama empat bulan untuk tempoh kuarantin sebelum diterbangkan ke Manchester.
Masih belum dapat dikenal pasti samada Dave akan dijaga oleh Stones atau Walker.
“Mereka masih belum pasti siapa yang akan menjaga Dave namun kucing itu tetap akan diterbangkan ke sana," kata penjaga yang ditugaskan membawa Dave ke klinik pada Ahad lalu.
Menerusi sebuah video di akaun Twitter Rich McCarthy, Walker memaklumkan hal ini bahawa Dave telah dibawa ke klinik sejak Ahad.
"Sesetengah orang benar-benar tidak suka kucing itu, tetapi saya suka dia (Dave)," kata Walker.
Tambah Stone, Dave muncul ketika hari pertama mereka tiba di Qatar.
"Hari pertama kami tiba di sana, Dave muncul. Setiap malam dia menunggu di stadium untuk makanannya." katanya.
Terdahulu, kekalahan pasukan Brazil di Piala Dunia 2022 menjadi bahan jenaka pencinta kucing apabila seorang pegawai pasukan Brazil bertindak melempar kucing tersebut di sidang media sekaligus mengundang kemarahan pecinta kucing di seluruh dunia.
Rata-rata peminat bola sepak menganggap kekalahan negara itu berpunca daripada ‘kuasa karma kucing'.
Croatia mengalahkan Brazil 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada Jumaat lalu.