Piala Dunia 2022: Qatar cari 'penonton' untuk bersorak
Faida Rahim
November 6, 2022 20:45 MYT
November 6, 2022 20:45 MYT
DOHA: Penganjur Piala Dunia 2022 dilaporkan sedang berusaha ‘mengupah’ penonton untuk bersorak buat peserta dan tuan rumah iaitu Qatar pada kejohanan bola sepak terbesar dunia itu.
Memetik laporan agensi antarabangsa, penyokong yang bersetuju dikatakan bakal menerima penginapan percuma, tiket perlawanan termasuk elaun harian.
Untuk tugas, penyokong perlu memeriahkan majlis perasmian serta menyiarkan komen positif di media sosial mengenai Qatar selaku negara tuan rumah Piala Dunia 2022.
Penganjur Jawatankuasa Tertinggi bagi Penyampaian dan Legasi (Supreme Committee for Delivery and Legacy) kejohanan dalam reaksinya mengesahkan Qatar sedang mencari penyokong dari 32 negara yang bertanding Piala Dunia tetapi menafikan mereka dibayar untuk tujuan mempromosi.
Dalam pada itu, Qatar juga dikatakan sedang mendekati ratusan blogger bola sepak, pempengaruh dan ketua komuniti peminat bola sepak dengan menawarkan mereka sebagai Ketua Peminat.
“Kami ‘tersedak’ apabila membaca dokumen itu. Kami diminta mempromosikan mereka dengan menjadi influencer penyokong Perancis dan memasarkan Piala Dunia di Qatar,” kata jurucakap kumpulan penyokong French Irresistibles, Fabien Bonnel yang dihubungi pada 2021.
Difahamkan, ramai kumpulan penyokong pasukan lain telah menolak tawaran itu.
Ronan Evain dari rangkaian Football Supporters Europe berpendapat cadangan itu jauh dari budaya peminat sejati.
Bagaimanapun, jawatankuasa penganjur mendakwa lebih 450 penyokong dari 59 negara telah mendaftar untuk tujuan, namun menegaskan bahawa penyertaan Rangkaian Ketua Peminat adalah secara sukarela dan tidak dibayar.
Setiap ketua peminat akan memilih 30 hingga 50 orang dari setiap negara yang bertanding dijemput ke acara perlawanan pembukaan pada 20 November 2022.
"Mereka akan diterbangkan ke Qatar dan tinggal di sana selama sepuluh hari dengan tiket percuma ke tiga perlawanan peringkat kumpulan pasukan kebangsaan mereka serta dengan bayaran $68 (RM322.90) sehari," kata Presiden French Irresistibles, Herve Mougin.
Sepanjang kejohanan berlangsung, penonton terbabit dikehendaki mempopularkan Piala Dunia 2022 di media sosial mengikut syarat yang ditetapkan Qatar.
Qatar menjangkakan 1.2 juta pelawat pada 20 November hingga Disember ini.