Piala Dunia 2022: Qatar beri jaminan aksi kelas A

Sinar Harian
November 19, 2022 06:07 MYT
Sanchez (tengah) bersama pasukannya ketika sesi latihan pemain Qatar di Doha menjelang aksi pembukaan Kumpulan A Piala Dunia Qatar 2022 menentang Ecuador, 19 Nov 2022. (Foto AFP)
PEMAIN Qatar telah membuat persiapan rapi untuk perlawanan pembukaan Kumpulan A Piala Dunia 2022 berdepan Ecuador di Stadium Al-Bayt pada 21 November ini.
Malah menurut pengendali Qatar, Felix Sanchez berharap para pemain The Maroon dapat menterjemahkan segala pengorbanan selama ini dengan meraih tiga mata.
“Jelas sekali semua yang kami lakukan sejak tiga tahun lalu adalah untuk membentuk pasukan kompetitif dalam Piala Dunia. Ini kerana keadaan setiap negara berbeza dan kami adalah negara kecil.
Semua pemain kami bermain dalam liga tempatan, jadi kami memutuskan salah satu cara untuk mengukuhkan pasukan kebangsaan ialah... membuat pengorbanan besar-besaran dan menghabiskan masa yang lama di luar negara.
“Ini menunjukkan komitmen pemain kami. Semua masa yang dihabiskan di luar negara berlatih dan bertanding adalah untuk 21 November, jadi kami boleh memulakan pertandingan dengan baik,” kata Sanchez.
Qatar menghentikan sementara saingan domestiknya pada September bagi membolehkan pemain skuad kebangsaan berlatih bersama dan beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan untuk persiapan Piala Dunia.
Qatar pernah terkenal dengan dasar pengambilan jurulatih bagi menghasilkan keputusan segera, namun mampu bertahan dengan Sanchez lebih lima tahun yang mula membentuk skuad remaja negara tersebut di Akademi Aspire pada 2006.
Pemain sama yang bermain di bawah pengendali dari Sepanyol itu untuk pasukan remaja kini membentuk teras pasukan senior.
“Selepas bertahun-tahun, ini adalah penghujung kitaran - 16 tahun bekerja di negara ini. Saya telah berada dalam projek, berkembang dan mengikuti langkah pemain dalam pasukan kebangsaan.
“Ia adalah sumber kebanggaan yang besar. Saya akan cuba menikmati masa ini,” kata Sanchez.
Namun pada masa sama Sanchez mengakui lawan di peringkat kumpulan - Ecuador, Senegal dan Belanda merupakan pesaing sukar buat negara yang melakukan penampilan pertama di Piala Dunia kali ini.
“Kami tahu potensi lawan kami. Mereka adalah pasukan yang hebat berdasarkan sejarah dan bakat individu pemain, malah mereka mendahului kami dalam segala aspek.
“Di kertas mereka sepatutnya mendapat tiga mata, mungkin mereka mengharapkan untuk memenangi ketiga-tiga mata. Tetapi kami di sini untuk menunjukkan bahawa kami boleh menjadi pasukan yang kompetitif. Kami akan membawa permainan kelas A,” katanya.
PIALA DUNIA 2022
ISNIN (21 NOVEMBER)
KUMPULAN A
Qatar lwn Ecuador
(Stdm Al Bayt, 12 tengah malam)
- Astro, TV2 TV Okey
KUMPULAN B
England lwn Iran
(Stdm Antarabangsa Khalifa, 9 malam)
- Astro, TV2 TV Okey
- Sinar Harian
#piala dunia qatar #Qatar #Ecuador #Felix Sanchez
;