Piala Dunia 2022: Jualan barangan cenderamata meningkat 20 peratus
Astro Awani
Oktober 2, 2022 05:45 MYT
Oktober 2, 2022 05:45 MYT
YIWU: Acara Piala Dunia yang dianjurkan setiap empat tahun bukan sahaja merancakkan ekonomi negara tuan rumah kerana menerima ratusan ribu kemasukan pengunjung.
Tetapi, ia juga menjadi peluang besar kepada pembekal cenderahati dan barangan sukan yang mendapat sambutan di luar jangkaan dari pelanggan di seluruh dunia.
Misalnya, Persatuan Industri Produk Sukan dan Kecergasan Yiwu, di wilayah Zheijang Timur, China yang mengeksport barangan sukan berjumlah kira-kira AS$566.8 juta dan mainan cenderahati bernilai sekitar AS$1.36 bilion,
Kira-kira 70 peratus perkakasan Piala Dunia FIFA di pasaran antarabangsa termasuk bola sepak, jersi, skaf serta hiasan sukan lain dihasilkan di bandar Yiwu.
Ye Xiaojun, pemilik perniagaan di bandar perdagangan antarabangsa Yiwu berkata, mereka sentiasa menantikan penganjuran Piala Dunia dan untuk persiapan yang akan datang.
Dengan pertambahan 20 hingga 30 produk baharu, pihaknya memaklumkan jualan barangan itu juga meningkat 10 hingga 20 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Walaupun dunia berdepan inflasi dengan kenaikan harga barang, ia tidak mematahkan semangat peniaga untuk memborong barangan tersebut dengan terpaksa menunggu sedikit lama berbanding biasa.
Bagi pihak pembekal pula, apa yang boleh mereka janjikan adalah pengeluaran dan penghantara mengikut jadual dengan pertambahan kakitangan dan perubahan jadual yang lebih efisien.