Piala Dunia 2018, 132 peminat fanatik dilarang ke Rusia
Bernama
Jun 5, 2018 13:04 MYT
Jun 5, 2018 13:04 MYT
Polis Metropolitan Scotland Yard London pada Isnin mengarahkan 132 peminat fanatik bola sepak negara itu agar menyerahkan pasport masing-masing, kerana berdepan larangan ke Rusia untuk menonton Piala Dunia 2018, lapor agensi berita Xinhua.
Warga London yang disabitkan dengan kesalahan berkaitan bola sepak tertakluk kepada peraturan tidak dibenarkan ke luar negara untuk menyokong pasukan England.
Jika gagal menyerahkan pasport, mereka bakal berdepan tindakan dan ditahan polis.
Bagi memudahkan urusan penyerahan dan pengumpulan pasport, pegawai polis akan ditempatkan di balai polis seluruh London pada Isnin dan Selasa.
Di samping itu, polis juga akan ditugaskan di Lapangan Terbang Heathrow untuk memantau.
Kira-kira 10,000 peminat England dijangka berlepas ke Rusia bagi menyaksikan Piala Dunia yang dijadual bermula 14 Jun.
Pihak berkuasa Rusia turut memperketatkan kawalan untuk memastikan kejadian tidak diingini berulang membabitkan peminat Rusia dan Inggeris seperti mana yang berlaku di Marseilles pada kejohanan Euro 2016.
--BERNAMA