Piala Dunia 2014 paling popular di media sosial
Umaira Uyop
Jun 25, 2014 06:21 MYT
Jun 25, 2014 06:21 MYT
Piala Dunia Brazil 2014 kini menjadi acara global terbesar di media sosial.
Di Facebook saja, lebih 141 juta pengguna laman itu memuat naik dan berkongsi interaksi berkenaan Piala Dunia hanya pada minggu pertama ia berlangsung.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding acara Super Bowl, anugerah Oscar dan Olimpik musim sejuk Sochi digabungkan.
Malah permintaan pemain Itali, Mario Balotelli di laman Twitternya, yang mahukan ciuman daripada Ratu Elizabeth II jika pasukannya menewaskan Costa Rica turut mendapat 180 ribu retweet.
Bagaimanapun harapan Balotelli tidak kesampaian apabila Itali tewas kepada Costa Rica dalam perlawanan 21 Jun lepas.
Twitter pula mencatat rekod post tinggi dengan 12.2 juta tweet ketika perlawanan pembukaan Brazil menentang Croatia pada 12 Jun lepas, 8 juta tweet sewaktu saingan di antara Amerika Syarikat dan Portugal serta 6.1 juta tweet dalam perlawanan Brazil - Cameroon.
Jumlah keseluruhan interaksi Piala Dunia di media sosial akan dapat diketahui selesai perlawanan Piala Dunia 2014 pertengahan Julai ini.