Piala Dunia 2014 bakal catat tweet paling banyak
Agensi
Jun 11, 2014 12:37 MYT
Jun 11, 2014 12:37 MYT
Piala Dunia 2014 yang akan bermula di Brazil minggu ini dijangka akan jadi satu acara yang bakal mencatatkan tweet terbanyak dalam sejarah.
Pengarah Twitter Inc. Brazil, Guilherme Ribenboim memberitahu agensi berita Reuters, jumlah tweet yang bakal dihantar sepanjang kejohanan bermula Jumaat ini akan menenggelamkan 150 juta tweet semasa Olimpik London 2012.
"Piala Dunia akan membawa (Twitter) ke peringkat yang lebih tinggi. Bagi Twitter, ini akan menjadi acara terbesar sepanjang sejarah," katanya.
Dengan pengguna Twitter di seluruh dunia berjumlah 255 juta orang, platform komunikasi blog mikro ini menjadi ruang iklan yang cukup lumayan kepada pengiklan.
Semasa Piala Dunia 2010, FIFA menganggarkan lebih kurang 3.2 bilion orang atau hampir separuh penduduk dunia menyaksikan sekurang-kurangnya satu perlawanan.
Semua 32 pasukan yang melangkah ke peringkat akhir Piala Dunia 2014 ini mempunyai akaun rasmi Twitter. Begitu juga pemain-pemain mereka.
Pemain yang mempunyai pengikut di Twitter paling ramai ialah pemain Portugal, Cristiano Ronaldo dengan 26.6 juta orang. Pemain Brazil, Neymar di tempat kedua dengan 10.8 juta pengikut diikuti pemain England, Wayne Rooney sseramai 8.8 juta pengikut.
Sementara itu, Twitter melancarkan semula tanda pagar bendera (hashflags) untuk Piala Dunia 2014 di Brazil ini. Ini bukan ciri yang baru malah ia sebelum ini telah digunakan semasa Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
Pilihan ini memudahkan peminat bolasepak untuk menunjukkan sokongan kepada pasukan pilihan mereka. Caranya mudah. Mereka hanya perlu masukkan tanda # diikuti tiga huruf kod negara.
Selain itu, Twitter juga akan mengumpulkan tweet negara dengan tanda pagar bendera (#) terbanyak. Peminat bolasepak boleh membuat undian pasukan pilihan mereka untuk 'menang' Piala Dunia Tweet di https://interactive.twitter.com/wcbracket/
Untuk Piala Dunia kali ini, Twitter memperkenalkan tanda pagar #WorldCup dan #WorldCup2014.
Peminat bolasepak boleh mengikuti perkembangan temasya itu dengan membawa coretan daripada pemain, jurulatih dan pasukan serta sesiapa saja di serata dunia melalui dua tanda pagar itu.
Tetapi untuk mengikuti kemeriahan Piala Dunia 2014 di kalangan peminat bolasepak tanahair, anda boleh gunakan tanda pagar #OlaBola dan memuat turun aplikasi iOS dan Android untuk Astro GO 2014 FIFA World Cup.