Piala Carabao milik Manchester City
Israr Khalid
Februari 25, 2018 05:14 MYT
Februari 25, 2018 05:14 MYT
MANCHESTER City mengesahkan keunggulannya musim ini dengan menjulang Piala Carabao.
Ia merupakan perlawanan yang berat sebelah di Wembley, apabila The Cityzens mempamer corak permainan kemas tiki-taka serta penguasaan bola yang membawa kepada kemenangan 3-0 ke atas Arsenal.
Tersingkir daripada saingan Piala FA tempoh hari di tangan wakil League One, Wigan Athletic tidak langsung menggugat fokus Pep Guardiola untuk mengemudi anak buahnya memenangi gelaran pertama musim ini, juga yang pertama buat pengendali berusia 47 tahun itu sejak menyertai kancah bola sepak Inggeris pada Februari 2016.
Parti City di Wembley dimulakan Sergio Aguero yang bijak memperdaya penjaga gawang The Gunners, David Ospina daripada sepakan gol Claudio Bravo untuk meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-18.
Arsenal kemudian cuba menggasak untuk mencari gol penyamaan, namun bola berada di bawah penguasaan City sebahagian besar masa untuk kedudukan kekal sehingga tamat babak pertama.
Minit ke-58 menyaksikan kapten, Vincent Kompany yang baru bebas dari belenggu kecederaan meledak gol pertamanya sejak Mei tahun lepas apabila menampan bola rembatan rakan sepasukan, Ilkay Gundogan sebagai gol kedua City.
Sambutan dimeriahkan lagi dengan penyudah manis David Silva pada minit ke-65, sekaligus mengebumikan mimpi Arsene Wenger dan anak didiknya untuk merangkul penyelamat kepada musim kurang memberangsangkan mereka ketika ini.
Ia bermakna hanya Piala Liga Inggeris yang masih belum pernah dikecap pengendali dari Perancis itu, dengan kekalahan di pentas final kali ini menjadi yang ketiga buatnya sepanjang 21 tahun memegang tampuk pengemudi kelab London itu.
Sementara itu, Guardiola dilihat masih menyematkan reben kuning pada dadanya sebagai tanda solidariti kepada pejuang pembebasan wilayah Catalunya yang ditahan, walaupun sudah berdepan dakwaan Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris.
Menempuh musim keduanya bersama City dengan cemerlang, Guardiola kini menambah koleksi pialanya kepada 21 gelaran secara keseluruhan daripada tugas sebagai pengurus di Barcelona serta Bayern Munich sebelum ini.
#Arsenal
#Arsene Wenger
#bola sepak
#Manchester City
#Pep Guardiola
#Piala Carabao
#Piala Liga Inggeris