Piala Asia: Sunil Chhetri buat tiket aksi india laku keras
Astro Arena
Januari 7, 2024 11:15 MYT
Januari 7, 2024 11:15 MYT
PEMAIN legenda India, Sunil Chhetri, akan menjadi antara pemain tertua beraksi dalam Piala Asia Qatar 2023 dan lebih menariknya, dia juga menjadi pencetus tiket aksi negara berkenaan laku bagaikan pisang goreng panas.
Kapten India itu juga merupakan pemain dengan penampilan antarabangsa ketiga tertinggi dalam kejohanan berkenaan (145 penampilan) di belakang pemain Qatar, Hassan Al-Haydos (175) dan penjaga gol Bahrain, Sayed Mohammed Jaffer (181).
Pada usia 39 tahun, ia kelihatan akan menjadi Piala Asia terakhir buat penyerang ikonik itu dan penyokong India sudah pasti mahu menyaksikan momen terakhir pemain legenda mereka itu beraksi sebelum dia menggantungkan but.
Ketua Pegawai Ekekutif Jawatankuasa Penganjur Piala Asia Qatar, Jassim Abdulaziz Al Jassim berkata, Sunil Chhetri merupakan antara sebab utama penonton membeli tiket aksi India dan tahun ini juga merupakan kali pertama pasukan itu beraksi dalam dua edisi berturut-turut.
Sebagai rekod, India diletakkan dalam Kumpulan B bersama Australia, Uzbekistan dan Syria. - Stadium Astro