Piala Asia Remaja 2023: Young Tigers dibenam Pakistan 2-6
Bernama
Jun 1, 2023 11:50 MYT
Jun 1, 2023 11:50 MYT
KUALA LUMPUR: Hajat Skuad hoki remaja lelaki negara untuk ke final tidak kesampaian apabila tewas dibenam Pakistan 2-6 pada aksi separuh akhir di Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 di Salalah, Oman pagi tadi.
Perlawanan yang berlangsung di Kompleks Belia Sultan Qaboos itu menyaksikan skuad negara mendahului apabila Perabu Tangaraja menghasilkan jaringan sudut penalti pada minit ke-21 sebelum Pakistan menyamakan kedudukan pada minit ke-42 menerusi Mohammad Khan.
Pakistan kemudian menggandakan mata apabila pemainnya Abdul Rahman menjaringkan gol padang dua minit kemudian sebelum pasukan negara mengejar 2-2 menerusi Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar seminit selepas itu.
Pasukan lawan kemudian menghasilkan empat lagi jaringan yang dibuat dengan jaringan padang menerusi Abdul Shahid pada minit ke-47, diikuti Rehman yang sekali lagi membuat sudut penalti dan gol padang pada minit ke-48 dan 51.
Jaringan terakhir Pakistan dihadiahkan Ahmad Arbaz yang membuat pukulan sudut penalti pada minit ke-58 sebelum Pakistan muncul pemenang perlawanan pusingan terbabit.
Sementara itu, jurulatih pasukan Muhamad Amin Rahim berkata meskipun sukar untuk menerima kekalahan besar dialami, namun beliau tetap memuji kegigihan dan disiplin dipamerkan anak buahnya sepanjang perlawanan.
"Sangat ketara dari segi fizikal kita agak bertungkus-lumus, ada beberapa kecederaan yang dialami ketika perlawanan, saya harus puji pemain saya, mereka beraksi sangat baik pada tiga kuota pertama.
"Bila kita pulang ke Malaysia kita akan meningkatkan aspek fizikal, pemain saya sangat berdisiplin dan mengikut rancangan perlawanan," katanya menerusi video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media hari ini.
Young Tigers sekali lagi dijadual bertemu Korea Selatan pukul 9.30 malam ini (waktu Malaysia) untuk penentuan tempat ketiga dan keempat selepas sebelum ini pernah menewaskan negara itu 3-1 pada aksi ketiga saingan Kumpulan B, 27 Mei lalu.
Muhamad Amin berkata kemenangan ke atas Korea Selatan sebelum ini tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur, justeru skuadnya perlu bekerja keras memastikan kemenangan pada malam ini.
-- BERNAMA