Piala Asia: Pertahanan Harimau Malaya kena diperkemaskan lagi - Reezal Zambery

Sinar Harian
Januari 13, 2024 12:30 MYT
Skuad negara tidak boleh membuat kesilapan mudah dalam perlawanan sebenar apatah lagi bakal berdepan pasukan yang sememangnya cukup berkesan dalam menyudahkan peluang di hadapan gol. - Foto FAM
PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon sudah tentu mempunyai idea untuk memperbaiki benteng pertahanan skuad negara yang dilihat agak lompong sebelum bermulanya perlawanan pertama Kumpulan E Piala Asia menentang Jordan.
Bekas pemain kebangsaan Reezal Zambery Yahya berkata, kelemahan di benteng pertahanan itu agak ketara dalam beberapa perlawanan sebelum ini termasuk ketika aksi persahabatan bertemu Syria pada Selasa.
Menurutnya, skuad negara tidak boleh membuat kesilapan mudah dalam perlawanan sebenar apatah lagi bakal berdepan pasukan yang sememangnya cukup berkesan dalam menyudahkan peluang di hadapan gol.
"Saya rasa barisan serangan kita tidak pernah gagal menjaringkan gol dalam setiap perlawanan dan itu satu petanda yang baik.
"Kalau kita boleh memperkemaskan sistem pertahanan untuk elak dibolosi, saya rasa pasukan kita akan jadi lebih baik.
"Namun, saya percaya perkara ini sudah dalam perhatian Kim Pan-gon dan dalam beberapa hari ini saya percaya akan ada penambahbaikkan yang akan dilakukan olehnya sebelum perlawanan pertama bermula," katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Skuad negara mencatatkan keputusan seri, 2-2 menentang Syria pada aksi persahabatan tertutup yang berlangsung pada Selasa biarpun mendahului menerusi gol Arif Aiman Hanapi sehingga minit ke-70.
Gawang Harimau Malaya bocor dua gol dalam tempoh empat minit menerusi jaringan Pablo Sabbag dan Ibrahim Hesar.
Bagaimanapun, Harimau Malaya yang berada di ranking ke-130 dunia kembali mendominasi perlawanan dan berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan tonggak naturalisasi negara, Paulo Josue pada minit ke-78 untuk mengikat perlawanan.
Dalam pada itu, Reezal Zambery juga percaya kemampuan pasukan negara untuk bersaing dengan Jordan, Bahrain dan Korea Selatan dalam Kumpulan E tersebut.
Beliau berkata, walaupun skuad negara bakal menempuh ujian sukar, namun perancangan taktikal dan semangat pemain negara pastinya akan menghadirkan keputusan positif di Qatar.
"Apa yang penting semua pemain kena fokus dan tidak boleh leka dalam setiap perlawanan. Bermain menentang pasukan yang berada di ranking lebih baik kita tidak boleh siakan peluang atau beri mereka peluang jaringkan gol.
"Jika kita buat satu sahaja kesilapan mudah,maka kita akan senang-senang dihukum oleh pasukan lawan," katanya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#harimau Malaya #Piala Asia #Jordan #pertahanan #Kim Pan-gon
;