Piala Asia: Malaysia tempah slot separuh akhir

Bernama
Mei 14, 2024 23:57 MYT
Skuad hoki dalam dewan wanita kebangsaan mara ke separuh akhir Piala Asia 2024 selepas menundukkan Iran 4-2 pada saingan terakhir Kumpulan A di Chonburi, Thailand malam ini. - Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation
KUALA LUMPUR: Skuad hoki dalam dewan wanita kebangsaan mara ke separuh akhir Piala Asia 2024 selepas menundukkan Iran 4-2 pada saingan terakhir Kumpulan A di Chonburi, Thailand malam ini.
Terdahulu skuad bimbingan Mohd Rodzhanizam Mat Radzi mengalami kekalahan pertama mereka dalam kejohanan itu kepada Kazakhstan 1-5 di Thailand National Sport University (TNSU) Kampus Chonburi petang tadi.
Dalam misi wajib menang bagi mengesahkan slot separuh akhir, Iran terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Ziba Yahyavi pada minit kesembilan sebelum Malaysia menyamakan kedudukan hasil jaringan padang Raja Norsharina Raja Shahbuddin tiga minit kemudian.
Pania Abbasi menyumbat masuk gol padang pada minit ke-18 buat Iran sebelum Malaysia memperoleh tiga gol dalam masa tiga minit perlawanan menerusi Siti Nur Arfah Mohd Nor (22'), Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun (24') dan Juliani Mohamad Din (25').
Menanti skuad negara di separuh akhir ialah antara Indonesia dan Thailand yang bersaing dalam aksi terakhir Kumpulan B malam ini.
Mohd Rodzhanizam dalam kenyataan dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berkata para pemain tidak berputus asa dan bermain mati-matian untuk bangkit mencari kemenangan.
"Untuk aksi separuh akhir, kami akan lakukan analisa ke atas pasukan lawan. Siapa pun lawan kami antara Thailand atau Indonesia, kami akan bersedia sepenuhnya," katanya.
Semalam, skuad negara memulakan kempen pada kejohanan itu dengan langkah kanan apabila membelasah Vietnam 25-0 diikuti Oman 12-1.
-- BERNAMA
#Piala Asia #hoki dalam dewan wanita #Separuh Akhir #Iran
;