Piala Asia: Jordan tamatkan mimpi indah Tajikistan, mara ke separuh akhir

Bernama
Februari 2, 2024 23:19 MYT
Kemenangan itu menyaksikan Jordan layak ke separuh akhir Piala Asia buat kali pertama selepas terkandas di suku akhir pada edisi 2004 dan 2011. - AP
DOHA: Jordan menamatkan mimpi indah Tajikistan pada kempen Piala Asia 2023 selepas The Chivalrous meraih kemenangan 1-0 pada perlawanan peringkat suku akhir untuk mencipta sejarah baharu di Stadium Ahmad bin Ali di Al Rayyan, hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan Jordan yang dibimbing Hussein Ammouta layak ke separuh akhir Piala Asia buat kali pertama selepas dua kali terkandas di suku akhir masing-masing pada edisi 2004 dan 2011.
Tajikistan yang mencipta sensasi pada debut di pentas Piala Asia apabila berjaya menempatkan diri dalam kalangan lapan pasukan terbaik terpaksa akur ditunjukkan jalan keluar dengan jaringan sendiri pemain pertahanan Vahdat Hanonov pada separuh masa kedua meranapkan impian pasukan mara lebih jauh.
Pada pertembungan itu, Tajikistan kendalian Petar Segrt yang menyingkirkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini, memberi amaran awal apabila sepakan Ehson Panjshanbe dari jarak dekat selepas menerima hantaran lintang Shervoni Mabatshoev terkena palang pada minit ke-15.
Kedua-dua pasukan kemudian buntu mendapatkan jaringan sehingga waktu rehat walaupun banyak percubaaan dilakukan, sebelum Jordan, akhirnya memecah kebuntuan gol pada minit ke-66 berpunca dari sepakan penjuru Mahmoud Al Mardi.
Pemain pertahanan Jordan. Abdallah Nasib yang berlari dari belakang barisan pertahanan Tajikistan, bijak mencari ruang untuk menanduk bola yang terkena badan Hanonov sebelum menerjah jaring, menyaksikan Yatimov Rustam kaku di gawang.
Jordan terlepas peluang keemasan untuk mendahului perlawanan dengan selesa selepas Mousa Al-Tamari yang menerima hantaran Yazan Al-Naimat gopoh melepaskan rembatan dari jarak dekat, yang menyaksikan bola melambung tinggi pada minit ke-71.
Kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil Fu Ming dari China untuk mengesahkan kemenangan Jordan yang bakal bertemu pemenang antara Australia dan Korea Selatan pada aksi separuh akhir, Selasa depan.
Jordan sebelum ini menyingkirkan juara 2007, Iraq 3-2 pada pusingan 16 terbaik.
-- BERNAMA
#Piala Asia #Jordan #Separuh Akhir #Tajikistan
;