Piala Asia: Harimau Malaya masih berpeluang layak ke pusingan kalah mati - Josue

Bernama
Januari 17, 2024 17:23 MYT
Josue berkata Harimau Malaya masih berpeluang layak ke pusingan kalah mati Piala Asia, jika mereka berjaya mencuri tiga mata mengatasi Dilmun's Warrior. - Gambar fail/Bernama
DOHA: Penyerang naturalisasi Harimau Malaya Paulo Josue sedar bahawa selepas permulaan buruk pada aksi pertama Piala Asia mereka, kini bergantung kepada prestasinya pada perlawanan menentang pasukan ke-86 dunia, Bahrain.
Pemain kelahiran Brazil itu berkata Harimau Malaya masih berpeluang layak ke pusingan kalah mati itu, jika mereka berjaya mencuri tiga mata mengatasi Dilmun's Warrior, ketika kedua pasukan bertemu pada perlawanan kedua Kumpulan E di Stadium Jassim Bin Hammad, Sabtu ini.
Bagaimanapun, pemain Kuala Lumpur City berusia 34 tahun itu menjangkakan pertembungan sukar kerana Bahrain juga mengejar tiga mata selepas tewas 1-3 kepada jura dua kali Korea Selatan, pada perlawanan pertama mereka.
"Kita masih lagi ada aksi dalam kejohanan ini, kita masih berpeluang, jadi kita perlu bersedia untuk perlawanan seterusnya dan lupakan kekalahan kita.
"Ia akan jadi suatu tugas yang sukar, kita melihat permainan Bahrain, mereka banyak menyukarkan Korea Selatan. Jadi kita perlu rancangan dengan baik dan lihat apa yang terbaik untuk perlawanan itu dan lakukannya, berikan yang terbaik untuk kutip mata untuk layak," katanya ketika ditemui di sini.
Untuk perkembangan terkini dan berita saingan Piala Asia 2023, KLIK DI SINI!
Sementara itu, pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim yang juga optimis Malaysia masih memiliki peluang ke pusingan kalah mati, menggesa rakan sepasukan bangkit memburu kemenangan dan menyajikan persembahan yang menarik berdepan Bahrain.
Pemain Selangor FC itu berkata kekalahan merupakan lumrah dalam bola sepak, namun sebagai pemain profesional mereka perlu cepat melupakan keputusan yang buruk dan fokus kepada perlawanan seterusnya.
Hasrat Malaysia yang dibimbing pengendali dari Korea Selatan Kim Pan Gon untuk meraih keputusan positif pada penampilan pertama selepas 17 tahun di Piala Asia tidak kesampaian, selepas tumbang 0-4 kepada Jordan di Stadium Al Janoub di sini, Isnin lepas (awal pagi Selasa waktu Malaysia).
Selepas bertemu Bahrain, anak buah Pan Gon yang menghuni ranking dunia ke-130 akan membuat perhitungan dengan Korea Selatan, dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Al Janoub pada 25 Jan.
Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Ini merupakan penampilan keempat Malaysia dalam kempen Piala Asia selepas layak secara merit pada 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait, serta sebagai tuan rumah bersama pada 2007, namun Malaysia terkandas di peringkat kumpulan dalam tiga edisi terdahulu.
-- BERNAMA
#Paulo Josue #harimau Malaya #Piala Asia #Bahrain #pusingan kalah mati
;