Piala Asia: Empat pemain Liga Malaysia bawa Jordan ke final singkir Korea Selatan

Astro Arena
Februari 7, 2024 09:00 MYT
EMPAT pemain yang sedang dan pernah beraksi dalam Liga Malaysia sepanjang dua tahun ini antara tonggak Jordan mencipta sejarah layak ke final Piala Asia buat kali pertama.
EMPAT pemain yang sedang dan pernah beraksi dalam Liga Malaysia sepanjang dua tahun ini antara tonggak Jordan mencipta sejarah layak ke final Piala Asia buat kali pertama, dengan yang terbaru menumbangkan pasukan pilihan, Korea Selatan, 2-0 dalam aksi separuh akhir awal pagi tadi.
Empat pemain berkenaan ialah Noor Al-Rawabdeh, Yazan Al-Arab (Selangor), Mahmoud Al Mardhi (Kedah Darul Aman) dan Fadi Awad (PDRM).
Aksi di Stadium Ahmed bin Ali awal pagi tadi menyaksikan Yazan Al Naimat dan Musa Al-Taamari menemui sasaran dalam babak kedua bagi menghancurkan impian Son Heung-min dan rakan-rakannya untuk bergelar juara Asia.
Jordan bukanlah pasukan yang menguasai permainan dan mereka terselamat daripada percubaan Hwang In-beom dan Lee Jae-sung yang tersasar selain sepakan penalti Korea yang dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) -- Son gagal melakukan sebarang percubaan tepat dalam aksi kali ini.
Al Naimat memecahkan kebuntuan pada minit ke-53 sebelum Al-Taamari melakukan jaringan solo gemilang pada minit ke-66 untuk membawa Jordan ke final dan akan menantikan pemenang satu lagi aksi separuh akhir di antara pilihan utama, Iran, dan pasukan juara bertahan dan tuan rumah, Qatar, malam ini. - Stadium Astro
#Piala Asia 2023 #Piala Asia Qatar #bola sepak #Korea Selatan
;