Piala Asia: Dion Cools, Matthew Davies pilihan Dollah sarung lilitan kapten
Astro Arena
Januari 7, 2024 06:15 MYT
Januari 7, 2024 06:15 MYT
BAHANG kehangatan Piala Asia 2023 kian terasa dan kem Harimau Malaya negara antara lain tertumpu kepada siapa yang akan memakai lilitan kapten untuk penampilan bersejarah di pentas Asia.
Berdasarkan perlawanan terdahulu, pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Matthew Davies, tampak jadi pilihan tetapi bekas jurulatih dan penyerang negara, Dollah Salleh, berpendapat Dion Cools sebagai calon sesuai.
"Daripada segi karakter ada pada Dion Cools, tetapi Matthew Davies juga okey.
"Ia memerlukan seorang pertahanan yang boleh mengarahkan dan berpesan kepada rakan sepasukan," katanya di Nadi Weekend.
Dollah merupakan pemain terakhir negara yang menghasilkan jaringan bertemu Korea Selatan, lawan Harimau Malaya di peringkat kumpulan Piala Asia Qatar.
Ia dilakukan 39 tahun lalu ketika kempen Piala Dunia di Stadium Merdeka pada 10 Mac 1985 yang juga kemunculan sulungnya bersama skuad kebangsaan.
Jaringan itu memastikan kemenangan 1-0 ke atas Taeguk Warriors yang juga kemenangan terakhir Malaysia ke atas Republik Korea di peringkat senior.
"Masa itu saya tercedera pergelangan kaki. Saya perlu membalutnya demi untuk bermain.
"Pertahanan lawan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan saya mengutipnya. Saya menewaskan seorang pemain lawan daripada jarak 30 ela dan saya tidak sangka percubaan itu menewaskan penjaga gol," katanya lagi.