Piala Asia: ‘Bangkitlah Harimau Malaya’ - PM
Bernama
Januari 20, 2024 22:20 MYT
Januari 20, 2024 22:20 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan sokongan dan meniupkan semangat kepada skuad Harimau Malaya yang akan menentang Bahrain dalam perlawanan yang dianggap sebagai penentu nasib skuad negara di pentas Piala Asia 2023, malam ini.
"Perlawanan kedua hari ini. Bangkitlah Harimau Malaya, dukungan rakyat sentiasa bersama kalian. Ayuh semua!," katanya dalam hantaran di laman media sosialnya, hari ini.
Skuad Harimau Malaya akan meneruskan perjuangan di pentas Piala Asia 2023 dengan menentang Bahrain malam ini di Stadium Jassim bin Hamad, Doha, Qatar sebelum menutup kempen peringkat Kumpulan E menentang juara dua kali Korea Selatan Khamis depan.
Terdahulu aksi pertama Kumpulan E dalam Piala Asia 2023 menyaksikan skuad negara bimbingan Kim Pan Gon tumpas 0-4 di tangan Jordan, Selasa lepas.
Turut meniup semangat skuad Harimau Malaya adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengajak seluruh rakyat negara ini untuk memberikan sokongan padu kepada skuad negara yang menamatkan penantian 42 tahun Malaysia untuk layak secara merit ke Piala Asia.
"Malam penting buat Malaysia! Gementar ada, bimbang pun ada. Kita doakan semoga skuad negara akan peroleh kemenangan malam ni. Doa seluruh rakyat Malaysia. Insya-Allah!," katanya dalam hantaran di Facebooknya.
Pasukan negara menyasarkan mencipta sejarah layak ke pusingan 16 terbaik selepas Malaysia terkandas di peringkat kumpulan dalam tiga penampilan sebelum ini.
Ini merupakan kali keempat Malaysia beraksi di Piala Asia selepas layak secara merit pada edisi 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait serta ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.
-- BERNAMA