Piala Asia B-23: Maloney ada sebab kekal pemain sedia ada
Astro Arena
Mei 29, 2022 04:30 MYT
Mei 29, 2022 04:30 MYT
KETUA jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney, mempunyai sebab tersendiri untuk mengekalkan barisan pemain sedia ada menjelang saingan Piala Asia B-23 di Tashkent, Uzbekistan bermula Khamis ini.
Berdasarkan senarai akhir 23 pemain negara yang diumumkan pada Sabtu, tiada sebarang pemain baru dipanggil dan skuad negara akan menggunakan kekuatan sama seperti ketika beraksi dalam Sukan SEA Hanoi baru-baru ini.
Bagi Maloney, dia tetap percaya dengan kemampuan pasukannya berdasarkan aksi yang dipamerkan di Hanoi sebelum ini.
"Kami sudah memuktamadkan barisan 23 pemain terakhir dan kami berasakan ini adalah pemain-pemain terbaik yang dapat kami kumpulkan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.
"Itulah sebabnya dan kumpulan pemain ini sudah bersama-sama sepanjang beberapa minggu lalu.
"Saya fikir ini adalah keputusan terbaik berdasarkan situasi kami.
"Walaupun agak malang kami tidak dapat sebarang pingat dalam Sukan SEA lalu, saya berasakan prestasi kami agak baik dan saya mahu sentiasa katakan bahawa pasukan ini sedang terus meningkat.
"Saya percaya kami sudah menjadi semakin bagus sepanjang Sukan SEA dan harap-harap kami akan terus meningkat dalam kejohanan kali ini," katanya.
Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan C, Piala Asia B-23 dengan bertemu pasukan gergasi, Korea Selatan, pada Khamis ini sebelum menghadapi Thailand dan Vietnam dalam dua perlawanan berikutnya.