Piala Asia B-23: Malaysia mahu cipta kemenangan meskipun dilabel bukan pilihan - Juan Torres

Bernama
April 16, 2024 21:56 MYT
Juan Torres Garrido berkata Uzbekistan mungkin diketahui sebagai pasukan yang kuat dan pilihan untuk kempen kali ini, namun anak buahnya bersedia untuk berhadapan dengan pasukan itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Keyakinan pemain pasukan bawah 23 Kebangsaan (B-23) untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan pertama kempen Piala Asia B-23 2024 di Qatar esok masih utuh, walaupun dilabelkan sebagai pasukan bukan pilihan.
Ketua Jurulatih B-23 negara Juan Torres Garrido berkata Uzbekistan mungkin diketahui sebagai pasukan yang kuat dan pilihan untuk kempen kali ini, namun anak buahnya bersedia untuk berhadapan dengan pasukan itu.
"Kami tahu berhadapan lawan ini suatu yang mencabar, tetapi kami kini dalam semangat terbaik selepas menjalani sesi latihan yang panjang.
"Jadi kami gembira berada di sini (kempen B-23), mewakili Malaysia dan teruja untuk memperbaiki keputusan-keputusan sebelum ini," katanya pada sidang media secara maya, hari ini.
Harimau Muda yang berada dalam Kumpulan D, akan memulakan kempennya bertemu Uzbekistan esok, sebelum dijadualkan berhadapan Vietnam (20 April) dan Kuwait (23 April).
Ini merupakan kali ketiga Malaysia layak ke Piala Asia B-23 selepas melakukan pada 2018 dan 2022. Pencapaian terbaik skuad kebangsaan ialah pada 2018 di bawah Datuk Ong Kim Swee, apabila mereka layak ke suku akhir.
Piala Asia B-23 bermula semalam (15 April) hingga 3 Mei di Doha, Qatar.
-- BERNAMA
#Piala Asia B-23 #skuad negara #Qatar #Juan Torres Garrido #Malaysia
;