Piala Asia B-23: Indonesia tekad roboh benteng kebal Uzbekistan

Astro Arena
April 29, 2024 16:53 MYT
Witan telah membuat lebih 100 penampilan dalam kesemua peringkat umur saingan buat Garuda, termasuk 44 kaps dalam skuad senior sejak 2021. - Stadium Astro
BINTANG skuad Garuda Muda, Witan Sulaeman, teruja dengan peluang untuk melakar lebih banyak sejarah ketika membuat persiapan menghadapi aksi separuh akhir PIala Asia B-23 malam ini.
Pendatang baharu kejohanan, Indonesia, bakal menjadikan Stadium Abdullah Bin Khalifa sebagai saksi untuk menjadikan mereka sebahagian daripada tujuh pasukan berbeza layak ke final sekali gus menamatkan kemarau 68 tahun beraksi di pentas Sukan Olimpik.
Berusia 22 tahun, Witan telah membuat lebih 100 penampilan dalam kesemua peringkat umur saingan buat Garuda, termasuk 44 kaps dalam skuad senior sejak 2021.
Dengan satu jaringan di bawah namanya, dia telah membantu lima daripada tujuh gol yang dihasilkan Indonesia setakat ini bersama Rafael Struick (dua) dan Marselino Ferdinan (dua), dan pemain Persija Jakarta itu percaya mereka mampu menghadirkan ancaman buat Uzbekistan yang tidak pernah dibolosi setakat ini.
“Dalam perlawanan, kami bermain seperti kami berlatih,” kata Witan.
“Kami mengikut arahan ketua jurulatih (Shin Tae-yong), ikut cara permainan yang dia mahukan, dan itu sebab kami berjaya menghasilkan peluang dan jaringan.
“Bertemu Uzbekistan akan menjadi perlawanan yang sukar kerana kami berdepan lawan yang berkualiti tetapi barisan pemain dalam kondisi yang baik dan kami akan berjuang lebih berbanding perlawanan sebelum ini.”
*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro
#skuad bola sepak Indonesia #separuh akhir PIala Asia B-23 #bertemu Uzbekistan #Witan Sulaeman #pentas Sukan Olimpik
;