Piala Asia B-23: Empat senario Indonesia buru tiket Olimpik Paris
Astro Arena
April 27, 2024 12:45 MYT
April 27, 2024 12:45 MYT
INDONESIA kini boleh bermimpi untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik Paris tahun ini kerana mereka sekurang-kurangnya telah dijamin aksi playoff menentang Guinea.
SENARIO 1 - Juara Piala Asia B-23
Sekiranya Skuad Garuda Muda terus cemerlang dan melangkah ke final dan kemudian berjaya muncul sebagai juara, maka mereka bakal berada dalam Kumpulan D bersama Israel, Mali dan Paraguay.
SENARIO 2 - Naib Juara Piala Asia B-23
Dengan menamatkan kempen Piala Asia B-23 sebagai naib juara, Indonesia bakal sertai kumpulan C dan bakal berdepan cabaran Sepanyol, Mesir dan Republik Dominika.
SENARIO 3 - Tempat ketiga Piala Asia B-23
Jika skuad kendalian Shin Tae-yong tewas kepada Uzbekistan pada aksi separuh akhir, mereka akan merebut tempat ketiga bersama satu lagi pasukan yang tewas sama ada Jepun atau Iraq, dan pemenang bagi penentuan tempat ketiga bakal mengisi kekosongan di Kumpulan B bersama Argentina, Maghribi dan Ukraine.
SENARIO 4 - Playoff menentang Guinea
Slot terakhir untuk berada di Olimpik Paris adalah perlawanan playoff antara pasukan yang tewas dalam penentuan tempat ketiga Piala Asia B-23 yang akan bertemu Guinea untuk berada dalam Kumpulan A berdepan tuan rumah Perancis, Amerika Syarikat dan New Zealand.
Perlawanan separuh akhir Indonesia dan Uzbekistan boleh disaksikan secara langsung di saluran Arena Bola 803HD pada 29 April dengan sepak mula pada jam 10.00 malam.
Semoga berjaya Garuda!
*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro